BEIJING, 9 JUN – Sebuah syarikat roket swasta dari China berjaya menjalankan ujian penghantaran bungkusan dari platform e-dagang terkenal, Taobao, menggunakan roket boleh guna semula. Roket tersebut kemudiannya dipulihkan dari laut, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam bidang logistik angkasa komersial.
Syarikat berasaskan Beijing, SEPOCH, menyempurnakan ujian sulung ‘penghantaran roket’ pada 29 Mei lalu apabila roket verifikasi XZY-1 membawa lebih 20 kilogram bungkusan dalam satu penerbangan ujian di luar pesisir pantai timur China.
Roket keluli tahan karat sepanjang 26.8 meter dan seberat 57 tan itu terbang selama 125 saat, mencapai ketinggian 2.5 kilometer, sebelum mendarat secara menegak di permukaan laut berhampiran wilayah Shandong.
Menurut SEPOCH, selepas operasi pemulihan selama 18 jam, roket berjaya dibawa balik dalam keadaan sempurna dan dihantar semula ke kemudahan mereka.
Ruang kargo roket tersebut bersaiz 120 meter padu dan direka untuk membawa sehingga 10 tan muatan – berpotensi menghantar kenderaan seperti kereta dan trak kecil. – Xinhua


