Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    China uji pembinaan stesen guna tanah Bulan

    BEIJING, 15 NOV – China dijangka meneruskan usahanya untuk membina pangkalan Bulan pertama hari ini, melancarkan eksperimen dalam angkasa untuk menguji sama ada batu bata stesen itu boleh dibuat daripada tanah Bulan itu sendiri.

    Sampel batu bata akan dilancarkan dengan menggunakan roket kargo menuju ke stesen angkasa Tiangong China, sebahagian daripada misi Beijing untuk menempatkan manusia di Bulan menjelang 2030 dan membina pangkalan tetap di sana pada 2035.

    Ia adalah tugas yang sukar: mana-mana struktur perlu menahan sejumlah besar sinaran kosmik, variasi suhu yang melampau dan gempa bulan, dan mendapatkan bahan binaan di sana pada mulanya merupakan prosedur yang mahal.

    Membina pangkalan daripada Bulan itu sendiri boleh menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut, kata saintis dari sebuah universiti di wilayah Wuhan.

    Mereka telah mencipta satu siri bata prototaip yang diperbuat daripada pelbagai komposisi bahan yang terdapat di bumi, seperti basalt, yang meniru ciri-ciri tanah Bulan.

    Imej serahan Pentadbiran Angkasa Negara China menunjukkan kapal Chang’e-6 selepas ia mendarat di permukaan Bulan pada 4 Jun 2024. – AP

    Serpihan batu bata ujian tersebut akan tertakluk kepada beberapa siri ujian ketat sebaik sahaja ia sampai ke stesen angkasa Tiangong.

    “Ia terutamanya mengenai pendedahan,” kata Zhou Cheng, seorang profesor di Universiti Sains dan Teknologi Huazhong Wuhan.

    “Secara ringkasnya, kami meletakkan (bahan) di angkasa dan biarkan ia di sana untuk melihat sama ada ketahanannya, prestasinya akan merosot di bawah persekitaran yang melampau.”

    Suhu di Bulan boleh berubah secara drastik antara 180 dan -190 darjah Celsius.

    Kekurangan atmosfera bermakna ia tertakluk kepada sinaran kosmik yang banyak serta mikrometeorit, manakala gempa bulan boleh melemahkan sebarang struktur di permukaannya.

    Uji kaji pendedahan akan berlangsung selama tiga tahun, dengan sampel dihantar balik untuk ujian setiap tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda