BEIJING, 17 MAC – China kelmarin melancarkan pelan tindakan yang diharapkan dapat membantu Beijing mengatasi permintaan pengguna yang amat rendah dan memenuhi sasaran pertumbuhan yang bercita-cita tinggi, lapor agensi berita Xinhua.
Pelan itu, yang dikeluarkan oleh Majlis Negara, menjanjikan ‘inisiatif khas’ untuk merangsang ekonomi kedua terbesar di dunia itu, yang telah bergelut untuk mengekalkan pemulihan yang kukuh sejak pandemik COVID-19.
Beijing berdepan halangan lanjut dengan kepulangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah mengenakan sekatan tarif ke atas pelbagai produk China sebagai sebahagian daripada perang perdagangan yang berterusan.
Pelan itu, yang disusun dalam lapan bahagian, ‘bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan gaji yang munasabah dengan mengukuhkan sokongan pekerjaan sebagai tindak balas terhadap keadaan ekonomi,’ lapor Xinhua.
Pelan itu bertujuan meningkatkan pendapatan dengan pembaharuan hartanah, menstabilkan pasaran saham dan menggalakkan pemberi pinjaman untuk menyediakan lebih banyak pinjaman penggunaan dengan had, terma dan kadar faedah yang munasabah.

Pegawai juga sedang mengkaji untuk meningkatkan faedah pencen, mewujudkan sistem subsidi penjagaan kanak-kanak dan memastikan hak pekerja untuk berehat dan bercuti dilindungi secara sah.
Langkah itu dibuat selepas data menunjukkan harga pengguna jatuh dalam deflasi pada Februari buat kali pertama dalam setahun, manakala harga pengeluar terus menurun.
Mekanisme untuk menstabilkan pasaran saham dan pembangunan produk kewangan untuk pelabur individu juga sedang diterokai.
Beijing merancang pertumbuhan ekonomi sekitar 5 peratus tahun ini, umum Perdana Menteri, Li Qiang pada sesi pembukaan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) awal bulan ini.
Pelan baharu itu adalah sebahagian daripada usaha China untuk menjadikan permintaan dalam negeri sebagai enjin utama dan tonggak pertumbuhan ekonominya. – AFP