BEIJING, 25 SEPT – Bank Pusat China hari ini menurunkan kadar faedah utama dalam usaha terbaharu untuk menyokong ekonominya yang sedang menghadapi kelembapan, sehari selepas mengumumkan beberapa langkah baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menurut kenyataan Bank Rakyat China, kadar faedah bagi Fasiliti Pinjaman Jangka Sederhana (MLF) kadar pinjaman satu tahun kepada institusi kewangan telah dikurangkan daripada 2.3 peratus kepada dua peratus.
Penurunan itu adalah yang paling ketara pernah direkodkan, dengan penurunan terakhir dilakukan pada Julai lepas.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu masih belum mencapai pemulihan pasca-pandemik yang dijangkakan dan Beijing telah menetapkan sasaran pertumbuhan sebanyak lima peratus bagi 2024.
Walau bagaimanapun, penganalisis menyifatkan sasaran tersebut sebagai agak optimistik memandangkan cabaran yang sedang dihadapi oleh negara berkenaan.
Gabenor Bank Pusat, Pan Gongsheng berkata dalam satu sidang media di Beijing kelmarin bahawa bank itu akan memperkenalkan beberapa langkah untuk merangsang pertumbuhan, dengan tumpuan kepada ‘menggalakkan pengembangan penggunaan dan pelaburan.’
Langkah-langkah tersebut termasuk pengurangan jumlah rizab tunai yang perlu disimpan oleh bank serta penurunan kadar faedah bagi pinjaman gadai janji sedia ada.
Beijing turut mengumumkan bahawa pengurangan Nisbah Keperluan Rizab (RRR) dijangka menyuntik kira-kira AS$141.7 bilion dalam bentuk kecairan jangka panjang ke dalam pasaran kewangan. – AFP