Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China Utara alami gelombang panas

    BEIJING, 11 JUN – Amaran cuaca panas yang ekstrem telah dikeluarkan di Beijing hari ini ketika suhu meningkat di seluruh utara China, selepas sebahagian hemisfera utara bumi mengalami suhu tertinggi yang pernah direkodkan.

    China merupakan pengeluar gas rumah hijau terbesar yang dikatakan oleh saintis menyumbang kepada perubahan iklim dan gelombang haba yang lebih lama dan lebih panas.

    Pihak berkuasa di Beijing mengeluarkan amaran jingga untuk cuaca panas yang ekstrem pada hari ini, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem empat peringkat, memberikan amaran bahawa suhu boleh naik sehingga 37 darjah Celsius di beberapa kawasan di ibu negara.

    Orang ramai berjalan pada hari yang panas di Beijing pada 11 Jun. – AFP

    Kerajaan perbandaran menggesa penduduk untuk mengurangkan masa di luar rumah, minum air secukupnya dan memantau kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas untuk tanda-tanda strok haba.

    Suhu tinggi sehingga 42 darjah Celsius diramalkan berterusan di seluruh kawasan utara, barat laut dan tengah, termasuk Beijing, Tianjin, Hebei, Shaanxi, Hubei, Mongolia dan Xinjiang, sehingga Jumaat, menurut pejabat cuaca negara.

    Namun hujan lebat dijangka turun di bahagian selatan, dengan hujan sehingga 70 milimeter mengancam bahagian wilayah Yunnan dan Guizhou hari ini dan esok, kata pejabat cuaca. Bulan lepas merupakan bulan Mei yang paling panas pernah direkodkan dan merupakan bulan ke-12 berturut-turut cuaca panas bersejarah di Bumi, umum pemantau iklim EU minggu lalu.

    Negara-negara di seluruh hemisfera utara telah mencatatkan gelombang panas yang terik ketika mereka memasuki bulan-bulan musim panas.

    Pakar cuaca terkemuka India berkata kelmarin bahawa gelombang panas semasa negara itu adalah yang paling lama direkodkan, dengan sebahagian negara itu, yang juga merupakan pengeluar gas rumah hijau, menyaksikan suhu melebihi 45 darjah Celsius sejak pertengahan Mei. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda