BEIJING, 10 MAC – Kerajaan China kini berusaha menangani masalah obesiti dalam kalangan penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion, termasuk lebih 50 peratus orang dewasa yang mengalami masalah berat badan berlebihan, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Bagi mengatasi masalah ini, kemudahan perubatan akan menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan pada tahun-tahun akan datang, kata Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Lei Haichao pada sidang media kelmarin.
Pusat kaunseling pesakit luar juga akan diwujudkan.
Hotel-hotel akan digalakkan untuk melengkapkan bilik dengan alat penimbang sebagai amalan standard agar golongan perniagaan dan orang ramai dapat memantau berat badan mereka.
Menangani obesiti adalah perkara yang agak baharu bagi China sebuah negara yang pernah berhadapan dengan krisis kelaparan pada pertengahan abad yang lalu. – Bernama
