Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    CHMS BSB buat persiapan rapi

    Oleh James Kon
    Gambar serahan CHMS BSB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sebagai persediaan bagi pembukaan semula sekolah pada 2 Jun ini, Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS), Bandar Seri Begawan telah melaksanakan beberapa langkah ketat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

    Sekolah berkenaan, dalam memo kepada ibu bapa menyatakan bahawa para pelajar akan kembali ke sekolah secara berfasa bermula 2 Jun ini.

    Di bawah fasa pertama, hanya pelajar Tahun 6, 8 dan 10 yang akan menghadiri kelas. Mereka akan mengikuti pembelajaran selama empat hari dengan pembelajaran dalam talian di rumah dijalankan sehari seminggu.

    Para pelajar juga diperlukan untuk memakai penutup mulut dan hidung apabila datang ke sekolah serta digalakkan untuk membawa kertas tisu dan pensanitasi tangan sendiri.

    Pelajar yang merasa tidak sihat atau mempunyai simptom-simptom demam, selesema, batuk, sakit leher dan alahan hidung pula tidak dibenarkan datang ke sekolah.

    Para pelajar Tahun 6 akan mengikuti pembelajaran dalam talian pada setiap Rabu manakala itu, pelajar Tahun 8 pada Isnin dan Tahun 11 pada Selasa. Sementara itu, para pelajar tadika, Tahun 1 hingga 5, Tahun 7, 9 dan 10 akan meneruskan pembelajaran dalam talian di rumah sehingga dimaklumkan.

    Selaras dengan peraturan penjarakan sosial, setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Beberapa kelas akan menjalankan pembelajaran di Dewan Boon Pang atau Dewan Aw Boon Haw. Setiap pelajar juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan di tempat penurunan sekolah di blok menengah dan blok rendah.

    Ibu bapa juga tidak dibenarkan keluarga dari kereta atau meletakkan kereta di hadapan blok pentadbiran apabila menghantar atau mengambil anak-anak. Pagar sekolah akan dibuka apabila pembelajaran berakhir.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam Pengerusi Lembaga Pengarah CHMS BSB, Yang Berhormat Ong Tiong Oh dan ahli-ahli lembaga berkenaan telah melawat sekolah berkenaan untuk memeriksa persediaan yang dijalankan.

    Yang Berhormat Ong Tiong Oh dan ahli-ahli Lembaga Pengarah CHMS BSB memeriksa persiapan bagi memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.
    Yang Berhormat Ong Tiong Oh dan ahli-ahli Lembaga Pengarah CHMS BSB memeriksa langkah penjarakan sosial yang dilaksanakan dalam kelas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda