Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 18 OGOS – Bagi mengukuhkan kerjasama antara pemimpin sekolah untuk membantu menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar sekolah tersebut, Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait (CHMS KB) telah mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) baru-baru ini.
Mengetuai rombongan tersebut ialah Pemangku Pegawai Pendidikan Kanan dan Ketua Kluster 6, JSS, Dayang Halizawati binti Haji Kepli, yang disambut oleh pengetua, Dr Chong Kui Kian.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan dan Penolong Ketua Kluster 6, JSS, Annie Sindai; Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Dayang Noor Aida binti Haji Mohd Hassan, serta lima orang pengetua sekolah menengah dan 16 guru besar sekolah rendah dari seluruh Belait.
Rombongan telah disambut dengan persembahan lagu dan tarian yang diketuai oleh Kumpulan Tarian CHMS dan pelajar sekolah rendah, yang diikuti dengan lawatan sekolah.
Sepanjang lawatan itu, rombongan telah melawat bilik darjah, makmal komputer, serta kemudahan-kemudahan lain yang membantu guru menyampaikan pendidikan terbaik kepada pelajar. Rombongan itu turut menghadiri beberapa sesi dialog yang memfokuskan kepada pendidikan peringkat rendah dan menengah.
Antara topik yang dibincangkan untuk Sesi Dialog Peringkat Rendah termasuk membenarkan kanak-kanak meneroka, menggunakan kaedah ringkas untuk mengajar, dan menetapkan sasaran dalam kalangan pelajar dan guru sambil memastikan untuk mengikutinya.
Sementara itu, Sesi Dialog Peringkat Menengah menekankan topik membina dan menyemai semangat kekitaan dan akauntabiliti dalam diri setiap orang di sekolah, memberi tumpuan kepada pendidikan holistik pelajar, dan menjadi guru yang berdedikasi.
Pihak sekolah menyatakan bahawa keseluruhan acara tersebut merupakan usaha kerjasama yang membuahkan hasil antara CHMS KB dan pemimpin-pemimpin sekolah Kluster 6. Selaras dengan aspirasi negara dari segi pendidikan, inisiatif ini bertujuan memperkasakan kualiti pendidikan pelajar dan taraf guru.


