Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chong Wei kongsi komitmen sebagai duta sukan Johor

    KUALA LUMPUR, 13 MAC – Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, bersedia memikul tanggungjawab sebagai penasihat badminton dan duta sukan Johor seperti yang diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Menerusi kenyataan, Chong Wei meluahkan rasa penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Baginda dan bertekad untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri selatan tanah air itu.

    “Semangat Duli Yang Amat Mulia terhadap sukan tidak berbelah bahagi dan dedikasi Baginda terhadap pembangunan sukan amat mengagumkan. Saya berkongsi komitmen ini dan akan berusaha sedaya upaya untuk memajukan pembangunan sukan di Johor serta Malaysia.

    “Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku atas peluang yang luar biasa ini. Terima kasih kepada pihak media dan rakan-rakan atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

    Semalam, beberapa media tempatan melaporkan bahawa Tunku Ismail mengumumkan Chong Wei sebagai duta sukan Johor. Selain itu, beberapa atlet bertaraf dunia turut dinamakan oleh Baginda dalam usaha memacu program pembangunan sukan dan belia di negeri itu.

    Pengumuman itu dibuat oleh Tunku Ismail yang turut dikenali sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ), dalam sesi soal jawab bersama peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kafeteria JDT, yang turut membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan kelab bola sepak berkenaan.

    Selain Chong Wei, yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dan diberi julukan ‘Raja Superseries’, beberapa ikon sukan terkemuka dunia turut disenaraikan oleh TMJ, antaranya Sonny Bill Williams (ragbi), Khabib Nurmagomedov (seni mempertahankan diri) dan Tim Cahill (bola sepak Australia). – Bernama

    Pemain legenda badminton Malaysia, Lee Chong Wei, semasa menghadiri sidang media di Kuala Lumpur pada 8 November 2018. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda