KUALA LUMPUR, 19 MAC – Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk dalam rumah untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut meminta supaya orang ramai mengelak daripada balik ke kampung seolah-olah beraya kerana tindakan seperti itu boleh mengancam nyawa orang tersayang di sana, selain mengelak daripada menyimpan makanan secara berlebihan.
“Kawan sekalian, saya berharap agar anda jangan cemas menghadapi krisis ini dan I minta tolong semua duduk di rumah, jangan keluar buat sementara ni. Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. (Jika) kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak-ansur, tolong-menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat.
“Kepada ‘frontliners’ (barisan hadapan), para doktor, missi (jururawat), kakitangan hospital dan juga cashier (juruwang) pasaraya yang terus berkhidmat dalam masa ini, terimalah tunduk hormat dari saya! Cara paling baik kita membalas budi dan bersumbang (menyumbang), is to #STAYHOME,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya.
Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa dari semalam hingga 31 Mac ini diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa malam bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama