JOHOR BAHRU, 18 APRIL – Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik Datuk Lee Chong Wei, sah dilantik Duta Sukan Johor.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak berkata pelantikan pemain nombor satu dunia dari 2008 hingga 2012 diyakini mampu memberi impak positif dalam pembangunan atlet muda negeri ini sejajar dengan aspirasi untuk memperkasakan budaya sukan bertaraf dunia.
“Kita akan kenal pasti lagi sukan yang berpotensi tinggi mengikut situasi semasa, pelan pembangunan sukan negeri Johor menerusi bengkel-bengkel.
“Yang paling penting Chong Wei akan menyuntik semangat untuk menjadi atlet dan insan terbaik,” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan perjanjian antara MSNJ dan Chong Wei di Johor Bahru hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Chong Wei yang dianugerahkan Ikon Sukan Negara merakamkan penghargaan atas pelantikannya sebagai Duta Sukan Johor dan akan berkongsi segala pengalaman, sekali gus berharap dapat membantu melonjakkan pembangunan atlet muda Johor.
“Perkara paling utama yang akan saya terapkan ialah dalam apa jua yang kita buat, disiplin amat penting. Hal itu yang akan meletakkan di mana diri kita berada,” katanya.
Beliau juga mengakui bahawa visi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam bidang sukan serta rakyat Johor mendorong beliau menerima tanggungjawab itu. – Bernama
