TASHKENT – Sambutan penuh semangat bergema hampir di setiap gerai teh, kekacang dan rempah ratus di tingkat atas Chorsu Bazaar, satu daripada pasar paling ikonik dan bersejarah di Tashkent, ibu negara Uzbekistan.
“Orang Malaysia, mari beli di sini, saya boleh bagi kamu diskaun!”
Boleh dikatakan kalangan peniaga mampu mengenal pasti pelancong Malaysia sebaik sahaja melihat mereka dan sambutan yang diberikan pula penuh keramahan.
Ia menggambarkan betapa kehadiran dan imej positif pelancong Malaysia di Uzbekistan boleh dikatakan sebagai legenda.
Apa yang bermula sebagai jeritan promosi jualan rupa-rupanya menyampaikan sesuatu yang lebih mendalam di Uzbekistan, rakyat Malaysia bukan sahaja dikenali, malah diraikan.
Ramai peniaga boleh mengecam pembeli sebagai rakyat Malaysia walaupun sebelum bercakap kepada mereka.
Sapaan yang disambut dengan senyuman hangat dan pelawaan mesra, lengkap dengan tawaran diskaun istimewa.
Penerimaan serta-merta ini mencerminkan bagaimana pelancong Malaysia kini menjadi antara golongan yang dihargai di pasaran antarabangsa kerana sifat yang ramah, sopan dan tidak lokek untuk berbelanja.
Sama ada disebabkan promosi dari mulut ke mulut sesama peniaga atau kehadiran berterusan kumpulan pelancong Malaysia, imej ini kini begitu kukuh dalam ingatan masyarakat tempatan.
Hal itu selari dengan peningkatan ketara dalam jumlah rakyat Malaysia yang meneroka destinasi baharu seperti Uzbekistan, sekali gus mencipta hubungan budaya yang bermakna menerusi perdagangan kecil dan layanan mesra.
Pada 2023, seramai 4,396 pelancong Malaysia direkodkan melawat Uzbekistan. Menjelang 2024, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 9,464 orang, menunjukkan minat yang semakin melonjak terhadap Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia.
Ketika pelancaran Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2024, Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia terus aktif berbelanja di luar negara, mencatatkan pertumbuhan tahunan 15.1 peratus, lebih dua kali ganda berbanding purata sebelum pandemik sebanyak 7.7 peratus antara 2011 hingga 2019.
Lonjakan perbelanjaan di luar negara ini turut sejajar dengan trend penggunaan domestik yang kukuh, termasuk rekod jualan kereta sekitar 815,000 unit serta peningkatan 11.8 peratus dalam perbelanjaan untuk restoran dan hotel.
Ringkasnya, trend ini mencerminkan selera rakyat Malaysia yang semakin berkembang terhadap pelancongan, membeli-belah dan pengalaman budaya, menjadikan mereka pelancong yang semakin dihargai di seluruh dunia.
TITIK PERTEMUAN KEAKRABAN MALAYSIA DAN TRADISI UZBEKISTAN
Contoh terbaik pertembungan budaya ini dapat dilihat sendiri di bawah kubah biru Chorsu Bazaar, lokasi di mana pengunjung Malaysia bertemu dengan keaslian warisan Uzbek.
Terletak di tengah kota lama Tashkent, Chorsu Bazaar merupakan antara pasar tertua di Asia Tengah, dengan sejarah yang mencecah abad ke-11.
Namanya yang bermaksud ‘persimpangan empat hala’ mencerminkan fungsinya sebagai titik pertemuan penting bagi pedagang dan masyarakat sejak berzaman.
Hari ini, bazar itu merupakan kompleks luas yang menghubungkan dewan-dewan berkubah, menempatkan pelbagai barangan, daripada hasil segar, buah kering, rempah ratus, daging, produk tenusu hinggalah ke kraf tangan.
Dibina di atas tapak pasar lama, struktur sekarang terdiri daripada pavilion tiga tingkat dengan rekaan seni bina Timur yang menawan, lengkap dengan sistem lif yang menghubungkan ruang simpanan bawah tanah dengan gerai jualan di atas.
Dari tingkat atas, pengunjung dapat menikmati susun atur bazar yang simetri, barisan penjual rempah, buah-buahan dan penyembelih daging membentuk satu labirin perdagangan yang tersusun dan hidup.
Suasana di dalam bazar cukup meriah, dengan timbunan kunyit dan cili berwarna-warni, roti tradisional Uzbek yang baru keluar dari ketuhar tanah liat, serta suara tawar-menawar dalam bahasa Uzbek dan Rusia yang berlagu harmoni.
Meskipun zaman telah berubah, Chorsu Bazaar masih mengekalkan jiwa seni bina dan budaya pasar Asia Tengah yang tulen.
Siling tinggi berkubah dan laluan luas memberi teduhan daripada terik matahari dan debu kering kawasan padang pasir, sementara fungsinya sebagai tempat pertemuan harian menghubungkan generasi lama dan baharu.
Bagi pelancong, kunjungan ke Chorsu Bazaar ibarat menyelami nadi sebenar kota Tashkent. Bagi penduduk tempatan pula, ia merupakan warisan hidup, tempat di mana budaya, perdagangan dan komuniti berpadu dalam salah satu ruang awam tertua di sepanjang Laluan Sutera. – Bernama