Penyanyi pemenang Anugerah Grammy, Chris Brown, baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan berkaitan kes pemukulan serius terhadap seorang penerbit muzik menggunakan botol di sebuah kelab malam di London pada tahun 2023.
Brown, 36, sebelum ini telah menafikan pertuduhan yang lebih berat, iaitu cubaan untuk menyebabkan kecederaan parah dalam satu prosiding mahkamah bulan lalu.
Dalam penampilan terbaharunya di Mahkamah Crown Southwark, Brown yang berpakaian sut coklat muda, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyerang Abraham Diaw hingga menyebabkan kecederaan sebenar di kelab Tape yang terletak di kawasan mewah Mayfair, London pada Februari 2023.
Dia turut menafikan memiliki senjata berbahaya — iaitu sebotol minuman — di tempat awam dalam prosiding ringkas berkenaan.
Sekitar 20 orang peminat hadir di galeri awam di belakang tempat duduk tertuduh untuk mengikuti prosiding Jumaat itu dan beberapa daripada mereka dilaporkan menarik nafas apabila penyanyi lagu Go Crazy, Run It dan Kiss Kiss itu melangkah masuk ke bilik mahkamah.
Tertuduh lain yang juga rakan Brown dan seorang pemuzik, Omololu Akinlolu, 39, turut menafikan pertuduhan menyebabkan kecederaan sebenar pada hari yang sama.
Menurut pihak pendakwa, serangan yang berlaku pada 2023 itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan ramai pengunjung kelab berkenaan.
Brown telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak AS$6.75 juta pada Mei lalu, yang membolehkannya memulakan jelajah konsert bertajuk Breezy Bowl XX.
Selepas beberapa persembahan di Eropah, dia dijangka kembali ke Amerika Utara pada penghujung Julai dengan konsert di Miami, sebelum meneruskan jelajah ke seluruh Amerika Syarikat termasuk singgah selama dua malam di Toronto.
Brown, yang mula mencipta nama ketika remaja pada 2005, memenangi anugerah Grammy pertamanya untuk album R&B terbaik pada tahun 2011 menerusi F.A.M.E. dan memperoleh kemenangan kedua dalam kategori sama tahun ini menerusi 11:11 (Deluxe). – AP
