Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sekolah Chung Hwa Kiudang (CHSK) hari ini mengadakan majlis graduasi secara maya yang pertama untuk pelajar Tahun 6, 2021.
Seramai 10 orang pelajar Tahun 6 menerima ijazah mereka setelah menamatkan pembelajaran peringkat rendah dan akan beralih ke peringkat pendidikan menengah tahun depan.
Pengijazahan secara maya itu dihadiri oleh pengetua sekolah berkenaan, Loo Shee Yun, guru-guru, pelajar dan ibu bapa.
Pengetua sekolah mengucapkan tahniah kepada para pelajar atas kerja keras dan kejayaan mereka walaupun dalam gelombang penularan wabak COVID-19.
“Menyaksikan semua pelajar telah menunjukkan yang terbaik dan saya yakin perkembangan pendidikan, pengetahuan mereka juga akan terus berkembang dengan cara yang sangat membanggakan. Awda kini bersedia untuk beralih ke tahap yang lebih serius di peringkat sekolah menengah,” tambah beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga sekolah, ibu bapa dan guru atas sokongan, kasih sayang dan dedikasi berterusan mereka kepada pelajar dalam masa yang mencabar ini.
Selain itu, ucapan perpisahan telah disampaikan oleh Ketua Pengawas Sekolah, Chew Fang Ting bersama wakil Tahun 6, Amy Sarah Chin yang mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah, pengetua dan guru-guru atas dorongan dan dedikasi yang tidak terhingga terhadap mereka.
Setiap pelajar kemudiannya diberikan sijil tamat pengajian, menandakan tamatnya perjalanan pendidikan mereka di CHSK. Mereka turut diberikan baucar hadiah daripada pihak sekolah dan pengetua.
