Chubb-E tepis penerimaan warganet

Penyanyi, Chubb-E, tidak tertekan apabila ramai yang mempersoalkan kemenangan menerusi Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33.

Chubb-E atau nama sebenarnya, Muhammad Shahrul Ashlyn Awang Ashrul Affandy itu berkata, dia sudah menjangkakan penerimaan warganet.

“Warganet sudah mempertikaikan saya ketika dicalonkan, apatah lagi menang. Disebabkan itu, saya tidak meletakkan harapan menang kerana lebih dikenali di kalangan penonton kanak-kanak. Saya pernah menyertai dua program realiti kanak-kanak, sebelum ini.

“Kebanyakan yang mengundi saya pun di kalangan peminat kanak-kanak dan remaja.
Mereka lebih banyak masa mengundi disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jadi, warganet yang mempertikaikan rata-ratanya penonton dewasa kerana ABPBH lebih ramai ditonton oleh golongan ini. Tetapi, saya tak ambil semua ini sebagai perkara negatif,” katanya kepada media.

Kemenangan Chubb-E menerusi Artis Baharu Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 dipertikaikan ramai. – Agensi

Tambah Chubb-E, dia sangat menghargai kemenangannya kerana memberi impak besar pada kerjayanya.

“Impak sangat besar, di mana lebih ramai yang mula mengenali saya. Saya perasan orang mula mencari saya dan karya yang dihasilkan. Saya perasan jumlah tontonan lagu menerusi laman YouTube bertambah selepas kemenangan ini.

“Sebab itu, saya tak boleh terlalu memandang perkara ini dari sudut negatif. Jika dahulu warganet kenal saya sebagai penyanyi kanak-kanak, sekarang pula berbeza. Ramai yang kenal saya sebagai penyanyi lebih dewasa. Alhamdulillah, saya dapat keluar daripada zon kanak-kanak,” katanya.

Seterusnya menjawab persoalan undian, Chubb-E berkata, dia tidak memahami cara pengundian.

“Kemenangan ini disebabkan peminat yang bertungkus lumus mengundi. Saya hanya serahkan kepada mereka. Saya tahu ada calon yang lebih popular, tetapi mungkin undiannya tak cukup kuat.

“Bagi saya, semuanya berbalik pada rezeki. Mungkin rezeki saya selepas lapan tahun berusaha mengetengahkan bakat dalam industri muzik,” katanya.

Ekoran itu, bagi menghargai usaha peminatnya, Chubb-E berkata, dia berhasrat untuk melebarkan sayap seninya.

Tidak hanya mahu dikenali sebagai penyanyi dan komposer, Chubb-E mahu menerokai dunia lakonan dan pengacaraan dengan lebih jauh.

“Sebelum ini, saya ada membintangi beberapa program kanak-kanak. Terbaharu, membintangi telefilem berjudul Ada Yang Ikut.

“Saya sudah menerima tawaran pengacaraan menerusi beberapa program terbitan Hurr TV. Saya merancang tampil dengan lebih banyak program televisyen menerusi lakonan dan pengacaraan.

“Saya kini lebih banyak berkomunikasi bersama peminat di luar bidang muzik,” katanya yang pernah bergelar juara program Ceria Megastar 2018.

Hampir lapan tahun berkecimpung dalam dunia seni, Chubb-E pernah menyertai dua program realiti kanak-kanak, Ceria Megastar 2018 dan Ceria Popstar 2014.

Seterusnya nama Chubb-E mula mendapat perhatian apabila menyertai program realiti Dansa Dan Sing, tahun lalu.

Chubb-E juga pernah tampil dengan single Aku Tak Kisah pada 2018, Kita Cuma Kawan (2019) dan terbaharunya, Padan Muka. – Agensi