Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chukwueze bantu Villarreal benam Madrid

    BARCELONA, 9 APRIL – Real Madrid mengalami kekalahan 3-2 di tangan Villarreal dalam La Liga kelmarin dalam pertembungan mendebarkan menjelang perlawanan Liga Juara-juara menentang Chelsea minggu depan.

    Real Sociedad menewaskan Getafe 2-0 untuk mengukuhkan cengkaman mereka di tempat keempat, manakala Villarreal naik ke tangga kelima selepas kemenangan mengagumkan mereka di Santiago Bernabeu.

    Madrid kekal 12 mata di belakang pendahulu, Barcelona, yang akan menentang Girona pada Selasa, dengan pemain sayap Villarreal, Samuel Chukwueze menjaringkan dua gol dalam persembahan individu yang sensasi.

    Gol sendiri Pau Torres menghantar Madrid di depan tetapi Chukwueze menyamakan kedudukan sebelum rehat.

    Vinicius Junior menjaringkan gol solo yang menarik sebelum Jose Luis Morales menyamakan kedudukan sekali lagi dan Chukwueze menjaringkan gol kemenangan hebat, sekali gus meleburkan harapan Madrid untuk mengekalkan kejuaraan.

    Chukwueze, (kiri), meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan antara Real Madrid dan Villarreal di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, baru-baru ini. – AP

    “Sebenarnya, sukar untuk kami 100 peratus bermotivasi, itu perkara biasa,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti kepada Movistar.

    “Jika awda tidak 100 peratus, awda perlu menjadi lebih baik di atas padang, kami tidak teratur, mereka menguruskan bola dengan baik dan sukar untuk kami mendapatkannya kembali.”

    Bagaimanapun, jurulatih itu berkata kekalahan itu tidak akan mempengaruhi tahap prestasi mereka menjelang kunjungan Chelsea pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-juara.

    “Tidak, tidak syak lagi,” tambah Ancelotti.

    “Kami tahu ia mungkin rumit, dan hari Rabu adalah cerita lain. Tahap kami menurun sedikit hari ini, tetapi pada hari Rabu ia akan berada pada tahap maksimum.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Rockets atasi Cavs