Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    CIA: COVID-19 mungkin bocor dari makmal

    WASHINGTON, 26 JAN – Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah mengubah pendiriannya mengenai asal usul COVID-19, dengan menyatakan kelmarin bahawa virus tersebut ‘lebih berkemungkinan’ bocor dari makmal di China berbanding disebarkan oleh haiwan.

    Penilaian terbaharu itu dibuat selepas John Ratcliffe disahkan sebagai pengarah CIA ketika pentadbiran kedua Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih.

    Ratcliffe, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah perisikan negara dari tahun 2020 hingga 2021 semasa pentadbiran pertama Trump, berkata dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Jumaat bahawa keutamaan ‘hari pertamanya’ adalah untuk membuat penilaian mengenai asal usul COVID.

    “Agensi akan bergerak aktif,” kata Ratcliffe yang mempercayai bahawa COVID-19 bocor dari Institut Virologi Wuhan.

    “CIA menilai, dengan tahap keyakinan rendah, bahawa penyelidikan berkaitan asal usul pandemik COVID-19 adalah berkaitan dengan penyelidikan di makmal, berbanding asal usul semula jadi daripada haiwan, berdasarkan laporan yang ada,” kata jurucakap CIA dalam satu kenyataan.

    Gambar fail menunjukkan pemandangan makmal P4 di dalam Institut Virologi Wuhan selepas lawatan oleh pasukan WHO di Wuhan di wilayah Hubei China pada 3 Februari 2021. – AP

    CIA sebelum ini tidak membuat sebarang keputusan sama ada COVID-19 tercetus akibat kebocoran makmal atau tersebar melalui haiwan.

    “CIA terus menilai bahawa kedua-dua senario asal usul berkaitan penyelidikan dan semula jadi untuk pandemik COVID-19 kekal munasabah,” tambah jurucakap itu.

    Seorang pegawai AS memberitahu AFP bahawa perubahan itu berdasarkan analisis baharu terhadap maklumat perisikan sedia ada yang diperintahkan oleh pengarah CIA sebelumnya, William Burns, yang disiapkan sebelum ketibaan Ratcliffe minggu ini.

    Beberapa agensi AS, seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga, menyokong teori kebocoran makmal, walaupun dengan tahap keyakinan yang berbeza-beza, manakala kebanyakan elemen dalam komuniti perisikan lebih cenderung kepada asal usul semula jadi.

    Penyokong hipotesis kebocoran makmal menekankan bahawa kes COVID-19 yang diketahui pertama kali muncul di Wuhan, China – pusat penyelidikan koronavirus utama – kira-kira 1,600 kilometer dari habitat kelompok kelawar yang membawa virus seperti SARS. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda