BRUSSELS, 3 NOV – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh ketika Ribut Ciaran membadai Eropah Barat dengan kelajuan angin sehingga 200 kilometer sejam, menyebabkan gangguan perjalanan dengan pelabuhan ditutup serta pembatalan penerbangan dan kereta api.
Sekurang-kurangnya lima orang maut di Tuscany, umum pihak berkuasa Itali hari ini, melaporkan rekod hujan yang turun dan pengisytiharan darurat.
Gabenor Tuscany, Eugenio Giani berkata tiga yang maut termasuk seorang lelaki berusia 85 tahun yang ditemui lemas di dalam rumahnya.
Datuk Bandar Florence, Dario Nardella berkata ‘keadaan adalah kritikal’ di bandar itu.
Pokok-pokok yang tumbang oleh angin kencang mencetuskan paling banyak kematian di Eropah. Di bandar Ghent, Belgium, seorang budak lelaki Ukraine berusia lima tahun dan seorang wanita berusia 64 tahun maut akibat dahan yang tumbang.
Pokok tumbang sebelum ini telah membunuh seorang pemandu lori di dalam kenderaannya di wilayah Aisne di utara Perancis, dan pihak berkuasa Perancis turut melaporkan kematian seorang lelaki yang terjatuh dari balkoninya di bandar pelabuhan Le Havre.
Kira-kira 1.2 juta kediaman Perancis terputus bekalan elektrik ketika ribut melanda pantai barat laut. Hampir 700,000 kekal tanpa bekalan elektrik pada petang semalam, menurut pengurus rangkaian Enedis.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadualkan melawat wilayah Brittany yang dilanda ribut hari ini, kata istana presiden Elysee.
Ribut itu menjejas lalu lintas kereta api, udara dan laut di Belgium di mana pelabuhan Antwerp ditutup dan penerbangan dari Brussels dibatalkan. – AFP