RENNES, PERANCIS, 2 NOV – Ribut Ciaran membadai utara Perancis dengan rekod angin hampir 200kmsj, membunuh seorang pemandu lori, manakala selatan England dan bahagian lain di barat Eropah kekal berjaga-jaga hari ini di tengah-tengah amaran banjir, bekalan elektrik terputus dan gangguan perjalanan utama.
Kira-kira 1.2 juta rumah di Perancis terputus bekalan elektrik semalaman apabila ribut melanda pantai barat laut, mencabut pokok-pokok dari tanah.
Kematian itu berpunca daripada sebatang pokok tumbang di kabin kenderaan barangan berat di jabatan Aisne, kata perkhidmatan kecemasan kepada AFP.
“Tiupan angin adalah luar biasa di Brittany dan banyak rekod telah dipecahkan,” kata perkhidmatan cuaca negara Meteo-France di X.
Ia berkata angin 193kmsj telah direkodkan di bandar Plougonvelin di hujung pantai barat laut, manakala bandar pelabuhan Brest di Brittany menyaksikan tiupan dengan kelajuan 156kmsj.
Di Cornwall di selatan England, ombak besar yang dicetuskan oleh angin 135kmsj, menghempas di sepanjang pantai pagi ini, manakala ratusan sekolah di seluruh wilayah ditutup.
Agensi Alam Sekitar Britain memberi amaran tentang ‘banjir besar di sepanjang bahagian pantai selatan dan di sepanjang bahagian pantai Yorkshire dan Timur Laut hari ini’.
Pengendali jalan raya mengeluarkan amaran cuaca buruk manakala operator kereta api menggesa penumpang untuk bekerja dari rumah, memandangkan laluan kereta api telah dihalang oleh pokok tumbang dan runtuhan. – AFP


