Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    CIBFM anjur muzakarah ilmuan kewangan Islam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Dengan sokongan daripada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), telah menganjurkan Muzakarah Ilmuan Kewangan Islam (MIKI) yang kedua di Bangunan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Forum bertemakan ‘Rangkuman Kewangan Melalui Kewangan Islam’ itu telah dihadiri oleh pegawai dan kakitangan AMBD, wakil-wakil dari Syarikat Takaful Brunei Darussalam (STBD), Insurans Islam TAIB (IITSB), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Jabatan Mufti Kerajaan, serta pensyarah-pensyarah dan mahasiswa-mahasiswi dari UBD, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

    Sebanyak lima pembentangan telah disampaikan dalam forum yang dipengerusikan oleh Ketua Isu Pengguna Kewangan AMBD, Dayang Rina Hayane binti Haji Sumardi selaku moderator.

    Para pembentang ketika sesi bergambar ramai selepas muzakarah tersebut.

    Manakala, para pembentang dalam forum tersebut antaranya ialah Pengurus (Kewangan Islam) AMBD, Dayang Bibi Amadah binti Haji Awang Rusli yang mengetengahkan tajuk forum ‘Gambaran Keseluruhan Rangkuman Kewangan melalui Kewangan Islam’; Pegawai Eksekutif Syariah, Perbadanan TAIB, Haji Mohd Yusruddin bin PSKDPPS Dr Ustaz Haji Yahya (‘Instrumen Pengedaran Semula Kewangan Islam’); Ketua Pegawai Kewangan IITSB, Haji Azhari bin Haji Abu (‘Takaful Sebagai Satu Cabang Kewangan Islam’); Pegawai Eksekutif Kanan Takaful Brunei Darussalam, Dayang Nooramal Fitriyah binti Abdul Rahim (‘Perancangan Kewangan di Takaful Brunei’) dan Timbalan Pengurus BIBD, Dayangku Hajah Siti Khadijah binti Pengiran Haji Ahmad (‘Connecting the Dots with BIBD’).

    Forum MIKI kedua ini merupakan satu platform perbincangan khas di peringkat profesional mengenai hal ehwal terkini dalam industri kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda