Wednesday, October 23, 2024
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Cicak’ terlibat 22 kes pecah rumah ditangkap

    MELAKA, 23 OKT – Seorang lelaki dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ ditahan kerana disyaki terlibat dalam 22 jenayah pecah rumah di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak awal tahun ini.

    Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata lelaki berusia 42 tahun dipercayai melakukan jenayah berkenaan secara solo itu ditahan di sebuah bilik hotel di Angkasa Nuri di sini kira-kira jam 4:20 petang 16 Oktober lepas.

    Beliau berkata polis turut merampas barangan antaranya barang kemas seperti cincin, rantai, loket, gelang selain pelbagai jenis telefon bimbit, pakaian berjenama dan motosikal dianggarkan bernilai RM150,000.

    “Suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ itu menyasarkan rumah tidak berpenghuni sebelum memecah masuk premis terbabit dan mencuri pelbagai  barang berharga.

    “Berdasarkan rekod, suspek melakukan jenayah pecah rumah terbabit di sekitar Melaka Tengah serta Alor Gajah dan setakat ini, sebanyak 22 rumah dipercayai dipecah masuk oleh lelaki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Md Nazri berkata polis turut merampas beg hitam mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan berat dianggarkan 5.34 gram.

    Beliau berkata saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk 10 kes pecah rumah.

    Suspek direman selama 10 hari hingga Jumaat ini (25 Okt) bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun selain denda dan sebat, katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda