Selebriti dan usahawan Malaysia terkemuka, Datuk Seri Vida (DSV), mendedahkan, anak perempuannya, Cik B, sangat bijak dalam menguruskan kewangan memandangkan sejak kecil telah dididik menjadi seorang usahawan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Vida berkata, dia juga tidak pernah melarang anaknya untuk melakukan apa yang disukai termasuk bagaimana menguruskan kewangan mereka hasil perniagaan masing-masing.
“Ramai tahu Cik B adalah taukey Salmon Skin Salted Eggs dan perniagaannya sangat laku. Masa dia tunjuk jumlah duit yang dia belanjakan baru-baru ini dan jadi tular di media sosial, perkara itu jadi bahan bualan orang ramai.
“Dia berbelanja apa yang dia nak belanja, dia nak beli apa yang dia suka pun saya tak halang. Sebab saya tahu pada masa yang sama, apa yang dia beli itu adalah satu pelaburan.
“Kalau orang kata dia saja nak tayang duit di media sosial itu, dia saja main-main. Mengenali anak saya itu, Cik B bukan seorang yang riak,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.
Selain itu, kata Vida, dia yakin, sebagai ibu, anak-anak perlu diberi peluang untuk berkarya walaupun sedar adakala jumlah wang yang dibelanjakan terlalu banyak.
“Kita kena bagi peluang kepada mereka ini untuk berkarya. Kadang kita rasa apa yang dibelanjakan itu macam banyak, tapi mereka ada sebab beli. Cik B ini seorang yang sangat culculative, jadi dia kena tahu apa sebab nak beli sesuatu barang itu.
“Macam sekarang, dia kata kad Pokemon tengah ada nilai dan ada yang pernah beli pada nilai yang tinggi. Bila dia terangkan, saya pun tak ada paksaan untuk halang apa yang dia suka buat,” katanya.
Dalam pada itu, kata Vida, selama ini, sebagai ibu, dia sentiasa berharap dan mendoakan Cik B dan anak lelakinya, Kacak, mampu mengukir kejayaan sebagai usahawan yang hebat. – Agensi