Pelakon Cik B menyifatkan usahawan sensasi Datuk Seri Vida adalah seorang ibu yang hebat dan kuat kerana mampu membesarkan anak-anak dengan baik, dedah mStar.
Menitip ucapan istimewa itu sempena ulang tahun Vida ke-53, Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, turut mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana tidak pernah berhenti berdoa dan memberikan kebahagiaan buat dirinya dan adik iaitu Eric Zaquan atau lebih mesra disapa Kacak.
“Mama (panggilan Vida) yang hebat. Seorang ibu tunggal yang paling hebat dan kuat.
Terima kasih selalu doakan Cik B, bagi apa yang Cik B nak tak pernah cakap tak boleh.
“Selalu percayakan Cik B. Sentiasa nak tengok Cik B dan Kacak bahagia. Sentiasa puji Cik B dan nak yang terbaik untuk Cik B. Saya sayang mama,” katanya.
Cik B berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.
Dalam pada itu, menerusi sebuah lagi video yang dimuat naik di Instagram milik Vida atau Hasmiza Othman, 53, usahawan berkenaan meluahkan rasa terharu apabila Cik B dan Kacak mengingati ulang tahun kelahirannya.
Dalam perkongsian video tersebut, Kacak dilihat membawa sebiji kek dan meminta Vida untuk membuat hajat.
Malah, jutawan kosmetik itu turut mendoakan kebaikan untuk anak-anak sempena menyambut ulang tahunnya. – Agensi