Ketika bergerak seiring dengan arus kemodenan, kehidupan manusia boleh dikatakan tidak dapat dipisahkan dengan teknologi.
Tidak kiralah teknologi yang digunakan untuk peralatan harian atau berkaitan dengan kesihatan tubuh badan.
Pada ketika ini, semakin banyak jam pintar yang mampu mengesaan dan memantau tekanan darah badan seseorang dijual di pasaran. Dalam masa yang sama, terdapat fungsi asas mengira langkah harian sehingga teknologi membaca apa yang terjadi ketika seseorang sedang tidur.
Tekanan darah tinggi antara penyakit pembunuh dan kadangkala individu tidak perasan bahawa mereka mengalami penyakit tersebut. Justeru, bagi memudahkan individu mengesan tekanan dan kadar oksigen dalam darah, Fitbit mencipta satu produk berupa cincin pintar.
Cincin tersebut dikatakan mempunyai sensor yang diiktiraf untuk penggunaan perubatan membaca kadar oksigen dalam darah ataupun tekanan darah. Ia akan dikawal melalui aplikasi dan sambungan secara NFC untuk kemas kini perisian atau juga tambatan pada jam tangan.
Bagaimanapun, ciri dan fungsi lain pada cincin pintar berkenaan masih belum diperincikan termasuk sama ada akan menjadi produk komersial ataupun tidak. Walau bagaimanapun, penggunaan cincin pintar dalam dunia kecergasan bukanlah sesuatu yang baharu. – Agensi
