ISLAMABAD, 4 JUN – Polis Pakistan kelmarin telah memaklumkan seorang bintang TikTok yang berusia 17 tahun telah ditembak mati oleh seorang lelaki yang berulang kali cuba menghubunginya secara dalam talian.
Sana Yousaf, yang baru menyambut ulang tahun ke-17 minggu lalu dan mempunyai lebih sejuta pengikut di akaun media sosialnya, dibunuh semasa berada di rumahnya di bandar Islamabad pada petang Isnin.
Polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang disyaki membunuh remaja itu, selepas didapati berlegar-legar di luar rumah mangsa selama beberapa jam.
“Ia merupakan kes penolakan berulang. Lelaki itu berkali-kali cuba menghubunginya,” kata Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi, dalam satu sidang media.
Tambahnya, “Kes tersebut adalah pembunuhan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.” Yousaf mempunyai lebih 800,000 pengikut di TikTok, sebuah platform yang sangat popular di Pakistan, di mana beliau sering memuat naik video nyanyian, tip penjagaan kulit dan kandungan promosi produk kecantikan.
Video terakhir yang dimuat naik ke akaunnya adalah beberapa jam sebelum pembunuhannya yang menunjukkan beliau sedang memotong kek ulang tahun.
‘Rest in Peace’ dan ‘Justice for Sana’ antara komen yang ditinggalkan di bawah video tersebut. Keganasan terhadap wanita merupakan isu yang meluas di Pakistan menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia negara itu dan kes wanita diserang selepas menolak lamaran perkahwinan bukanlah sesuatu yang luar biasa. – AFP


