Salam sejahtera, terima kasih media kerana buka ruang ini untuk saya bercerita.
Saya seorang suami berusia awal 30an. Saya sayangkan isteri saya sepenuh hati, tetapi ada satu perkara yang saya pendam dan kini perlahan-lahan menghakis kebahagiaan rumah tangga kami, saya masih belum dapat melupakan cinta lama saya.
Kami telah berkahwin hampir tiga tahun. Isteri saya seorang wanita yang penyayang, sabar dan tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Namun, jauh di sudut hati saya, ada ruang yang belum dapat saya tutup iaitu kenangan dengan bekas kekasih yang pernah saya cintai selama hampir tujuh tahun.
Saya tahu ini tidak adil. Setiap kali saya tatap wajah isteri saya, saya rasa bersalah. Bukan kerana saya tidak cintakan dia, tetapi kerana saya sering membandingkan dia dengan wanita yang telah lama berpisah. Saya tidak pernah berhubung dengan bekas kekasih saya, namun bayangannya seolah-olah masih hidup dalam minda dan hati saya.
Perkahwinan kami mula retak sedikit demi sedikit. Isteri saya perasan saya sering termenung, tidak fokus bila dia bercerita dan kadang-kadang saya terlepas sebut nama yang sepatutnya saya simpan jauh di hati. Dia tidak pernah menuduh saya curang, tapi saya tahu dia sedih dan saya lebih sedih kerana menjadi punca.

Saya pernah cuba berbincang dengan seorang ustaz. Katanya, mungkin saya belum benar-benar ikhlas menerima takdir dan belum betul-betul lepaskan masa lalu. Saya mahu berubah. Saya mahu jadi suami yang benar-benar hadir, bukan jasad tanpa jiwa.
Saya menulis ini kerana saya mahu lelaki lain yang mungkin pernah melalui situasi sama mengetahui mencintai dua kenangan dalam satu hati hanya akan menghancurkan semua dan saya sedang membina semula dari serpihan yang saya sendiri pecahkan.
Semoga curhat ini jadi teguran untuk diri saya dan peringatan kepada yang lain.
Farid
NASIHAT DANG MP
Salam sejahtera Farid, terima kasih kerana berkongsi dengan jujur dan terbuka. Apa yang awda lalui hanyalah rindu pada kenangan masa lalu. Kalau ini berlanjutan sudah pasti boleh timbul rasa bersalah terhadap pasangan dan sedikit sebanyak boleh menghancurkan kebahagiaan masa sekarang seperti yang Farid ceritakan.
Kenangan cinta lama bukan mudah untuk dipadam, terutamanya apabila ia pernah menjadi sebahagian besar hidup kita. Namun, perkahwinan bukan soal melupakan masa lalu sepenuhnya, tetapi memilih untuk hadir sepenuhnya dalam masa sekarang.
Ketahuilah bahawa isteri kamu adalah insan yang jelas menyayangi kamu dengan sabar dan setia. Dia bukan minta kamu melupakan sejarah, tetapi berharap kamu memberi peluang penuh untuk mencipta cerita baharu bersamanya.
Oleh itu, usahlah Farid selalu habiskan masa dengan kerap terkenang akan kisah lalu. Ciptalah kenangan manis pada masa sekarang dan akan datang dengan orang yang selayaknya dan sentiasa berada di sisi Farid.
Nikmatilah kebahagiaan yang Farid ada sekarang dan jadikan kenangan yang lalu sebagai kenangan yang sudah pasti tak akan berulang lagi.
Sudah pasti kenangan baharu yang dicipta adalah lebih segar dan membahagiakan hidup Farid pada masa kini dan masa hadapan.