Pelakon Indonesia, Cinta Laura mendedahkan pernah menolak pelawaan penyanyi The Weeknd untuk duduk bersama sewaktu bertemu di sebuah kelab malam di Los Angeles, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.
Menerusi satu temu bual di podcast Kemal Palevi, Laura atau Cinta Laura Kiehl, 31, memberitahu pada ketika itu dia sedang bersama rakan-rakannya di sebuah kelab malam untuk menikmati muzik di lantai dansa.
Memetik laporan mStar, kata Laura, dia terpaksa menolak pelawaan penyanyi berkenaan kerana bimbang sekiranya The Weeknd mempunyai niat buruk terhadapnya seperti memberikan dadah dan memaksa melakukan perbuatan tidak baik.
“The Weeknd melihat aku, jarak kami mungkin tidak sampai dua meter. Lalu dia (The Weeknd) menyuruh pengawal peribadinya mengajak aku ke mejanya.
“Siapa tahu mungkin jika aku pergi ke mejanya, dia akan merayu kepada ku. Mungkin juga dari situ dia memberi dadah dan memaksa aku untuk melakukan sesuatu,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Upik Abu dan Laura itu memberitahu dia terpaksa menolak pelawaan itu kerana mahu menjaga harga diri dan enggan dilabel sebagai wanita tidak baik.
“Tapi kerana aku mempunyai pendirian dan memiliki nilai sebagai manusia, akhirnya aku dapat merasa sesuatu perkara yang tidak baik.
“Sekiranya aku bersetuju untuk duduk lepak sekali dengannya di kelab malam, mungkin dia (The Weeknd) akan menganggap aku gadis yang tidak baik,” ujarnya. – Agensi


