Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cinta Mesti Sampai Dapat 3

    Oleh Salina M.S –

    SINOPSIS

    Salima disindir dalam perjalanan van kolej pulang ke hostel jururawat oleh Mila mengenai kad I like you yang diberikan oleh Salima kepada Kamal itu.

    BAB 3 – PERJALANAN PULANG KE HOSTEL JURURAWAT

    Sesi kuliah berakhir sebelah petang. Para pelajar jururawat dipandu pulang menggunakan van kolej. Kapasiti van 11 ke 15 pelajar sahaja.

    Pelajar lelaki kena naik van lain.

    “Perempuan kalau sudah kemaruk mahu berlaki, dia buat apa ya?” Nada suara Mila tinggi macam bunyi tin kosong ditendang-tendang.

    “Entah! Entah! Entah!” Jawapan kawan-kawan Mila yang duduk sebelah-menyebelah, belakang dan depan Mila. Mereka memang penyibuk tegar mengalahkan ahli mesyuarat tingkap.

    Mila menyindir Salima mengenai kad yang diberikannya kepada Kamal. – Canva
    Najwa yang kuat makan juga teringin makan cucur udang. – Canva

    “Aku rasa kalau orang perempuan hantar kad kepada orang lelaki, kemaruklah namanya tu,” sindir Mila. Bibir tebal bergincu merah menyala digimik-gimik.

    Entahlah. Dari mana Si Mila tahu pasal kad itu. Seperkara lagi, Mila memang tidak pernah malu mengaku telah bermimpi dipatuk ular. Dipatuk ular? Ish, mimpi bakal dipinanglah itu.

    Dipinang Kamal. Perasan! Dalam mimpi itu, Mila sepatutnya cepat-cepat telefon bomba.

    Kerja bomba tangkap ular. Buat apa tunggu sampai ular patuk.

    Najwa yang duduk di kerusi paling belakang dalam van, sedang melayan sakit hati tahap menjeling-jeling Mila perempuan perasaan itu. Cuma, jelingan itu tiada yang nampak. Huh!

    Buang masa saja.

    “Salima punya kad, Salima punya sukalah. Kau sibuk- sibuk apa hal!” leter Najwa.

    Salima terangguk-angguk. Bukan pasal menyokong leteran Najwa. Cuma, menghayati lagu di earphone. Para penyokong a.k.a pengawal keselamatan a.k.a kuncu-kuncu Mila sibuk mahu tahu, perempuan yang dimaksudkan Mila.

    “Siapa? Siapa? Siapa?”

    Mila memang ramai penyokong. Satu intake jururawat menyokong Mila. Itu belum dikira dengan intake senior lagi. Mila memang tidak glamor pun. Dia cuma suka meraih sokongan dengan rasuah ‘belanja makan’.

    Banyak duit Mila?

    Memanglah. Sebab, Mila anak datuk. Bukan dato berpangkat. Bapa dia ahli perniagaan. Beristeri empat. Dia anak daripada isteri ke empat.

    Khabarnya, ibu Si Mila iaitu Puan Mashitah sewaktu anak dara dahulu, memang suka menyanyi di dapur. Sudahnya, menamatkan zaman bujang dengan lelaki sesuai dipanggil datuk.

    “Siapa? Siapa?” tanya Emi pula di belakang Mila.

    Emi pelajar tinggi lampai. Gemar berkasut tumit tinggi. Sepupu Kamal. Ibunya dengan ibu Kamal, adik- beradik. Kawan-kawan masih belum tahu lagi mengenai hal itu. Tapi, dirahsiakan untuk apa? Entahlah! Kena baca cerita ini sampai habis.

    “Siapa?” Juliana menoleh ke arah Mila.

    Juliana pelajar bertubuh pendek. Suka berkasut tumit rendah. Memang tiada kena-mengena dengan Emi dan Kamal.

    “Memang tak tahu malu, kan.” Mila tidak menjawab soalan pokok yang diajukan oleh Emi dan Juliana.

    “Tapi lelaki tu, balaskah?” tanya Emi ingin tahu.

    Sebenarnya, kawan-kawan Mila masih belum tahu lagi siapakah watak perempuan dan lelaki dalam cerita Mila itu?

    “Balas?” sinis Mila. “Spesies perempuan gitu, lelaki pun takut. Menonjol sangat!” sambungnya menghina.

    Menonjol? Apa yang ditonjol? Sedangkan, Salima selalu mengenakan kerudung menutup dada. Pergi praktikum ke hospital besar pun Salima pakai kerudung putih.

    “Kalau aku, memang tak tahulah mahu simpan muka di mana,” ucap Juliana.

    “Letak dalam tong sampah lagi baik,” sampuk Emi seronok sangat.

    Mereka ketawa standard mulut terbuka besar.

    Mengalahkan serumbu kapal. Ada pula sampai nampak tampal gigi warna hitam. Memang tidak senonoh langsung. Tidak perasaan yang diketawakan cuma duduk paling belakang sahaja.

    Kereta Ismail sudah berparkir depan hostel jururawat. Kelihatan van kolej mula merapat belakang kereta. Ismail nampak risau. Bimbang van terlanggar belakang keretanya.

    Keretanya itu mahal dibandingkan harga kereta mangkuk roda satu.

    Salima dalam van, sudah nampak kereta mangkuk ayah. Eee, apa pula kereta mangkuk?

    Kereta Mercedes, lah. Salima girang. Sudah lama ayah tidak melawat ke hostel jururawat. Campur, bahagi, darab, baru tiga hari ayah tidak datang.

    Najwa mengamit lengan Salima. Dalam percubaan mengadu domba mengenai ulah Mila.

    Malangnya, gamitan Najwa terkena siku terlebih tulang. Maka, sesi mengadu domba terbatal.

    Mila bingkas dari duduk. Betis panjang serupa ratu cantik, diorak tertib. Tertib juga rupanya. Langkah diangkat masuk ke laluan tengah. Nampak, sandal merah bertumit tinggi bertali tirus lagi blink blink. Tiba-tiba…

    CENG! CENG! CENG! (Musik efek) Tiba-tiba, Mila rasa tubuh ditolak. “Sialan kau!” maki Mila.

    Salima selamba menuju ke pintu van. Tidak hirau makian Mila si perempuan perasan itu.

    “Apa sialan-sialan!”

    Terdengar sapaan paling berani dari arah belakang. Najwa rupanya yang berani itu.

    Kenapa Najwa tiba-tiba jadi pemberani?

    Najwa berani sebab para penyokong a.k.a pengawal keselamatan a.k.a kuncu-kuncu Mila sudah tiada lagi dalam van kolej. Mereka sudah turun sejak tadi. Sekarang sudah berada di dewan makan hostel jururawat. Maklum, mereka sudah tidak sabar-sabar lagi mahu makan cucur udang.

    Memang, makan sahaja di kepala otak mereka. Sebab, mereka sudah terbiasa di rasuah ‘belanja makan’ oleh Mila.

    “Eh, kau siapa ah! Ada aku cakap dengan kaukah?” Mila tidak puas hati.

    Najwa tergelak. “Aku siapa kau tanya? Sudah masuk semester kedua sekarang ini, kau masih tak kenal aku siapa. Memang sah otak kau singkat. Tepilah!” Tubuh Mila ditolak ke tepi.

    Tubuh Mila tersungkur kaku macam Si Tanggang yang telah ditumpahi simen. Tanpa penyokong, Mila macam harimau dicabut taring.

    “Aku pun nak pekena cucur udang juga. Bukan penyokong-penyokong kau saja yang kelaparan,” cetus Najwa yang memang kuat makan. Badan saja kurus macam batang lidi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda