BEIJING – Teman wanita Rafayel bersungguh-sungguh meraikan hari lahir kekasih mereka, menyewa pusat beli-belah di seluruh China untuk majlis parti, menghiasi kereta api laju bersama gambarnya, malah mengadakan pertunjukan dron yang mempesonakan.
Namun lelaki hari jadi itu tidak hadir dalam setiap acara – dia merupakan watak maya dalam permainan mudah alih romantik Love and Deepspace yang telah memukau
berjuta-juta wanita muda di China dan negara lain.
Dilancarkan pada tahun lepas, permainan itu menggabungkan aksi memburu raksasa dengan adegan permainan akhir yang ada kalanya romantik dalam dunia futuristik di mana ‘cinta tiada batasan,’ menurut pemaju Papergames yang berpangkalan di Shanghai.
Dan pemain terpikat dengan model watak 3D yang realistik, naratif yang mengasyikkan dan peluang untuk membina hubungan dengan lima teman lelaki maya yang berbeza.
Sejak dikeluarkan pada Januari 2024, permainan ini telah memperoleh keuntungan lebih daripada AS$500 juta di seluruh dunia di gedung Google Play dan App Store Apple.






Kira-kira 40 peratus daripada pendapatannya datang dari luar negara, beritahu firma penyelidikan pasaran Sensor Tower kepada AFP.
Bagi kebanyakan orang, rakan maya ini menawarkan lebih daripada hiburan – mereka memberikan kepuasan emosi.
Liu Xue, seorang pekerja pejabat berusia 25 tahun, menyamakan hubungannya dengan Rafayel dengan hubungan romantis dalam kehidupan sebenar.
“Bagi diri saya sendiri atau kepada kawan rapat saya, saya akan mengatakan bahawa kami adalah pasangan kekasih,” beritahunya kepada AFP pada majlis hari jadi di Beijing.
“Saya tidak fikir saya memerlukan teman dalam kehidupan sebenar.”
Dia menemani Liu setiap hari, menghiburnya apabila dia berasa sedih – malah memastikan dia mendapat maklumat terkini tentang kitaran haidnya.
“Ia bagaikan sokongan emosi,” katanya.
Perasaan sayang ini, bagaimanapun, datang bersama pengorbanan.
Walaupun Love and Deepspace dimuat turun secara percuma, pemain sering berbelanja besar untuk pembelian dalam permainan untuk membuka kunci jalan cerita tambahan dan interaksi dengan watak kegemaran mereka.
Permainan ini tidak menawarkan pasangan wanita, walaupun terdapat permainan serupa yang menawarnya – namun tiada dengan jangkauan dan populariti yang sama.
Tinjauan pihak ketiga mencadangkan bahawa kira-kira lima hingga 10 peratus daripada mereka yang bermain Love and Deepspace adalah lelaki.
LEBIH BAIK DARIPADA KEHIDUPAN SEBENAR
Wang Yaya, seorang pelajar universiti berusia 23 tahun, telah membelanjakan lebih 70,000 yuan (AS$10,000) untuk permainan dan barangan berkaitan.
“Saya gembira untuk membayar nilai emosi,” katanya kepada AFP.
Peminat mengumpulkan wang mereka untuk menganjurkan acara – seperti meraikan hari lahir Rafayel – di mana mereka bergambar dengan potongan kadbod kekasih hati dan bertukar-tukar cenderahati buatan sendiri.
Seorang veteran tujuh tahun dalam permainan seperti Love and Deepspace, Wang menyifatkan kerelaannya dan juga rakan sebayanya untuk berbelanja disebabkan kekurangan sokongan emosi daripada ibu bapa mereka sebagai anak.
“Ramai rakan saya juga mengalami situasi yang sama,” jelasnya.
Dan bagi sesetengah pemain, percintaan maya jauh lebih menarik dan menyeronokkan daripada dating dalam kehidupan sebenar.
Sejak menemui permainan seperti Love and Deepspace, Liu berkata dia telah hi-lang minat untuk berkenalan dengan lelaki sebenar.
“Bermain permainan video percintaan adalah pengalaman yang menyeronokkan dan lebih baik daripada kehidupan sebenar,” katanya, merujuk kepada genre permainan romantik yang lebih luas, yang pada asalnya dibangunkan di Jepun.
Pelajar Liu Yuxuan, 22, melihat hubungannya dengan Rafayel sebagai bahagian utama dalam hidupnya.
“Disebabkan semua orang mempunyai rahsia mereka, ada di antaranya awda tidak boleh memberitahu orang lain. Apabila awda membuka permainan, awda boleh bercakap dengannya,” katanya.
“Saya boleh mendedahkan diri saya kepadanya tanpa sebarang keraguan, dan dia akan menunjukkan cintanya kepada saya tanpa sebarang keraguan,” katanya.
Cinta Rafayel tetap teguh dan setia – sesuatu yang dikatakannya jarang berlaku dalam kehidupan sebenar.
Seorang lagi pemain, yang menggunakan nama Zaylia, merumuskan tarikan permainan tersebut bagi rakan sebayanya, “Ia memenuhi fantasi kami yang sedang menjalin hubungan.
“Bukankah manfaat terbesar hubungan itu sendiri adalah untuk memberikan nilai emosi?” – AFP

