Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dalam sama-sama meningkatkan pahala pada bulan suci Ramadan ini, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) telah mengadakan Majlis Menjiwai Al-Quran sempena World Quran Hour bertempat di Dewan MRSB, Kampung Sungai Akar, baru-baru ini.
Majlis berkenaan telah disemarakkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran daripada qari-qari tempatan dan juga tadabbur Al-Quran daripada penceramah tempatan dan luar negara.
Berangkat pada majlis penuh berkebajikan tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Al-Jumuah serta diikuti tadabbur surah berkenaan.
YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim turut menyampaikan cenderahati kepada pembaca-pembaca Al-Quran dan pentadabbur.


Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan selawat dan seterusnya acara berbuka puasa serta solat Fardu Maghrib berjemaah.
Tadabbur Al-Quran merupakan salah satu cara untuk menambah kefahaman umat Islam kepada Al-Quran yang sudah tentunya dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, ia dapat memupuk semangat masyarakat Islam untuk terus mencintai Al-Quran dengan mendalami Al-Quran daripada pakar-pakar yang berkemahiran.
Pada tahun ini, Surah Al-Jumuah merupakan surah yang dijadikan pilihan untuk ditadabbur pada majlis tersebut. Dalam surah ini ada menyebutkan mengenai perintah solat Fardu Jumaat dan juga adab-adab berkaitan dengannya.
Acara ini merupakan salah satu acara global yang diadakan di lebih 200 tempat di sekitar Nusantara dan MRSB merupakan salah satu hos bagi Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, penaung-penaung bersama MRSB Kampung Sungai Akar, pegawai-pegawai masjid berkenaan, jemaah serta penduduk Kampung Sungai Akar.

