Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cintai Rasulullah SAW, hayati sunnah Baginda

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Seorang pencinta pasti merindui dan mendambakan pertemuan dengan kekasih hatinya, dia akan mengingati perkara-perkara yang disukai kekasihnya dan selalu menyebut nama kekasih yang dicintainya itu. Begitulah lumrah naluri seorang pencinta terhadap orang yang dikasihinya.

    “Maka bagaimana pula perasaan kita terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW? Marilah kita bermuhasabah dan menjawab pertanyaan-pertanyaan ini dengan jujur. Adakah kitani mempunyai keinginan yang kuat untuk bertemu dengan Baginda Rasulullah SAW? Adakah kitani menjadikan rezeki bermimpi bertemu Rasulullah SAW satu matlamat dan cita-cita kita dalam kehidupan? Adakah kitani merasa berat untuk mengamalkan sunnah-sunnah Baginda?

    “Adakah kitani sering menyebut nama Baginda dengan berselawat? Adakah selawat kita bermusim atau hanya ketika keadaan sedih, susah, ditimpa musibah atau selawat telah menjadi amalan harian kita?” Itulah antara persoalan yang diungkapkan oleh Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid semasa menyampaikan ceramah khas berjudul ‘Menghayati Sunnah Rasulullah SAW’ pada Majlis Perhimpunan Wanita Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Daerah Tutong bagi Tahun 1445 Hijrah pada 28 September lalu.

    Sebagai mukadimah, beliau antaranya mengungkapkan Rasulullah SAW diutus kepada manusia keseluruhannya untuk mengajar mereka akan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk manusia dan ajaran Baginda inilah dinamakan Sunnah atau perjalanan Rasulullah SAW.

    Sunnah Rasulullah SAW itu pula merangkumi perkara akidah, akhlak dan syariat (hukum). Sunnah Baginda meliputi semua perkara dalam kehidupan terutamanya memerintahkan manusia untuk taat kepada Allah Tuhan semesta alam dan beribadat kepadaNya, menyuruh manusia berakhlak mulia, menyuruh anak-anak berbuat baik kepada ibu bapa, memerintahkan umat Islam untuk menuntut ilmu bagi menambah keimanan, memandu dalam perkara muamalah dan seumpamanya.

    Dayang Zati Hanani semasa menyampaikan ceramah khas pada Majlis Perhimpunan Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Daerah Tutong pada 28 September lalu. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara muslimah yang hadir pada majlis sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, Peringkat Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara yang hadir pada sambutan Maulidur Rasul anjuran Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B di Balai Ibadat Baitul-Mal Kampung Selayun Sengkurong B. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Dayang Zati Hanani turut menyeru kepada semua supaya lebih menghayati sunnah Rasulullah SAW dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan dan mengajarkannya kepada generasi muda yang merupakan penerus umat masa depan bagi menjamin kejayaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

    Suburkan kecintaan sunnah Rasulullah SAW

    Dayang Zati Hanani turut menekankan bahawa sesiapa yang mendakwa dia cintakan Allah SWT, maka sudah semestinya dia mencintai rasulNya dan dengan itu dia akan disayangi Allah SWT serta diampunkan dosanya.

    “Cinta merupakan ungkapan yang sering diucapkan oleh seseorang dalam kehidupan seharian. Perkataan cinta menggambarkan perasaan yang sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang; sama ada antara suami dan isteri, ibu dan anak, sesama kaum keluarga, kaum kerabat dan sebagainya. Cinta itu bukan sekadar suatu yang tumbuh subur di dalam jiwa bahkan juga adalah tindak- tanduk yang dapat diukur melalui tingkah laku seseorang,” katanya.

    Oleh yang demikian, jelaslah mencintai dan mengagungkan sunnah Rasulullah SAW adalah dengan meneladani petunjuk dan sunnah Baginda SAW, dengan berusaha mempelajari dan mengamalkannya dengan baik,” ujarnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

    Menyelami makna sunnah Rasulullah SAW

    Apabila menyentuh mengenai meneladani petunjuk dan sunnah Rasulullah SAW, Dayang Zati Hanani menekankan umat Islam perlu tahu maksud sunnah itu sendiri iaitu sunnah dari sudut bahasa merupakan jalan atau kehidupan sama ada ia bersifat terpuji atau sebaliknya.

    Dari sudut istilah pula terbahagi kepada dua antara definisi ahli hadis dan juga ahli usul. Ahli hadis merujuk sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW sama ada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul.

    Manakala bagi ahli usul, menjelaskan sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada Al-Quran melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW.

    Kesimpulannya, jelas beliau lagi, kedua-dua ahli berkenaan bersepakat mengatakan bahawa sunnah adalah setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan ataupun persetujuan daripada Nabi SAW.

    Antara sunnah Rasulullah SAW

    Dalam pada itu, Dayang Zati Hanani turut mengongsikan antara amalan sunat yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW adalah mengerjakan solat Tahajud dan solat Dhuha; mendahulukan kaki kanan saat memakai kasut atau selipar dan kaki kiri saat melepaskannya; amalan membaca Al-Quran; menunaikan ibadah sembahyang secara berjemaah tepat pada waktunya; sentiasa bersedekah; menjaga dan memelihara wudhu dan sentiasa beristighfar.

    “Itulah antara amalan harian yang Nabi Muhammad SAW sentiasa lakukan dalam kehidupan harian selain banyak lagi amalan sunnah lain. Oleh itu, semoga kita tergolong dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa istiqamah dalam mengamalkan sunnah di samping tidak meninggalkan amalan harian yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam,” tekannya.

    Teruslah berselawat demi meraih syafaat

    Untuk terus mengamalkan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW termasuk berselawat 100 kali selepas setiap solat fardu dan juga melakukan sekurang-kurangnya 20 kali selawat sebelum dan selepas bangun daripada tidur.

    “Orang yang selalu berselawat kepada Rasulullah SAW akan menerima syafaat Baginda di akhirat kelak, jadi amat rugi bagi mereka yang meninggalkan amalan ini,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan cara berselawat juga boleh dipelbagaikan dan dibenarkan dalam Islam termasuk dengan pendekatan qasidah dan nasyid. Menerusi selawat, cahaya atau nur dapat meresapi dalam hati kita dan lama-kelamaan akan terbit sendiri kerinduan yang tinggi terhadap Rasulullah SAW.

    “Berselawat ke atas Rasulullah SAW juga merupakan satu pernyataan rasa cinta kita kepada Baginda. Selawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa keagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah SWT, bahkan suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman,” kongsinya lanjut.

    “Antara kelebihan berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah mendapat kedudukan yang utama di sisi Baginda SAW pada hari kiamat kelak; meraih syafaat Baginda SAW dan digandakan pahala berselawat di mana sesiapa yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sebanyak satu kali, maka Allah SWT mengurniakan kepadanya rahmat dan melipatgandakan pahalanya”.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda