Gambar AFP
BANDAR GAZA, PALESTIN – Mencari jalan keluar dari kemiskinan yang membelenggu Semenanjung Gaza, Islam Abu Taima menggeledah lorong-lorong pasar untuk mencari kepingan kadbod yang diharapkan dapat diubah menjadi mainan yang boleh dijual.
Kemiskinan di wilayah Palestin yang dilanda konflik, jalur tanah yang tersepit antara Israel, Mesir dan Laut Mediterranean, telah mencecah kadar 53 peratus, menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin.
Peluang kerja adalah terhad di Gaza, yang telah diletakkan di bawah sekatan Israel sejak gerakan Islam Hamas mengambil alih kuasa pada 2007, dan Abu Taima, seorang graduan sastera Inggeris, telah bergelut untuk mencari pekerjaan.
Dia tinggal bersama suaminya Mohammed, yang juga menganggur, di kem pelarian Al-Shati di mana mereka mula membuat mainan untuk lima anak mereka kerana ‘kanak-kanak asyik meminta’ barang mainan tersebut.
Suami Abu Taima ‘mula membuat basikal dan kereta kecil untuk mereka bermain’.







“Mereka gembira dan kami mendapati barang mainan itu cantik,” kata lelaki berusia 39 tahun itu, yang rumahnya tidak mempunyai bekalan air atau pun elektrik.
Dia kini menjual hasil ciptaan mereka dengan harga lima hingga 10 shekel (AS$1.40 hingga AS$2.80) setiap satu di laluan jalan kaki di kawasan lebih mewah di tengah Gaza.
Abu Taima dan suaminya juga menggunakan kemahiran kreatif mereka untuk membuat model dan mainan yang mungkin tidak dapat diperoleh oleh keluarga mereka.
“Suami saya terfikir untuk membuat pesawat lama dan kereta berbumbung seperti yang dipandu orang terkenal. Ia membantunya mengatasi kemurungannya,” katanya.
Bagi Abu Taima, menggeledah pasar Gaza untuk mendapatkan kadbod boleh menjadi pekerjaan sukar.
“Saya mendapatinya sukar apabila saya berjalan di jalan kerana orang ramai memandang saya dengan keliru dan bertanya: ‘Mengapa kamu mengumpul kadbod?’ Saya tidak boleh menjawab semua orang,” katanya.
Pasangan itu membuat satu atau dua mainan sehari, namun walaupun mereka menjual semua barangan mereka, keuntungannya kurang daripada 450 syekel yang diperlukan untuk membayar sewa bulanan mereka.
“Matlamatnya adalah untuk membantu keluarga saya hidup, dan mencari rezeki saya setiap hari, ia semudah itu.”
Dengan kadar pengangguran mencecah 45 peratus, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, ramai lagi rakyat Gaza mencari jalan alternatif untuk mencari rezeki.
Di Deir al-Balah di tengah Gaza, Alaa dan Salama Badwan telah mengubah bumbung rumah mereka menjadi tapak semaian tumbuhan kecil.
“Kami menggunakan bumbung kerana kekurangan ruang,” kata Salama, 40, di antara tayar yang dicat dalam warna merah dan hijau yang berfungsi sebagai pasu.
Alaa mengumpul lendir daripada tumbuhan lidah buaya, yang kemudian digunakan oleh Salama untuk membuat sabun di bengkel rumah sementara.
Setakat ini, mereka masih belum menampung kos permulaan projek baharu itu.
Alaa, 37, mengemukakan idea berkenaan sementara menyelidiki kosmetik semula jadi dalam talian, yang telah menjadi trend popular di kawasan pantai.
Mereka menjual hasil mereka di farmasi tempatan dan menaruh harapan produk mereka menjadi popular seperti sabun minyak zaitun yang terkenal dari Nablus, sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki.
“Keadaannya sukar tetapi penduduk bersikap positif,” kata Alaa.
Selepas kembali ke Gaza untuk membantu keluarganya, graduan berusia 25 tahun, Amani Shaath gagal mencari pekerjaan.
Menurut angka Palestin, pengangguran bagi graduan muda telah mencecah kadar mengejutkan sebanyak 73.9 peratus.
Shaath telah bekerja selama empat tahun di kedai makanan segera di Turkiye, dan pada bulan Februari mengambil keputusan dengan membuka kios di kawasan dermaga Gaza, menjual hamburger pada harga 15 shekel setiap satu di tempat rekreasi yang popular itu.
Kedai makanan tepi pantai telah berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi tidak banyak yang dikendalikan oleh wanita.
“Hari pertama, orang memandang saya dengan hairan. Ia membuat saya terkejut dan saya takut projek itu akan gagal,” kata Shaath.
“Kemudian orang mula datang dan mereka menggalakkan saya, terutamanya kerana saya seorang wanita.” – AFP

