Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    Cipta baju besi rumit untuk kucing dan tikus

    Gambar oleh Jeff de Boer

    KANADA – Pengarca, Jeff de Boer dari Calgary, Kanada telah mencipta baju besi logam yang rumit untuk kucing dan tikus yang akhirnya menjadi kerjayanya.

    “Semuanya bermula dengan seekor tikus,” kenang Jeff de Boer. Dia mencari cara kreatif untuk menggabungkan hasratnya yang sudah lama terpendam terhadap baju besi Zaman Pertengahan untuk memperluaskan perniagaan membuat barang perhiasan dan satu hari idea itu tiba-tiba terlintas di mindanya – jom cuba buat satu baju besi kecil untuk seekor tikus.

    Pada masa itu, ia kelihatan seperti satu idea yang menarik, tetapi dia tidak menyedari bahawa dia akan dikenali sebagai pemilik empayar baju besi kucing dan tikus pertama dan tunggal di dunia serta mencipta lebih daripada 500 baju besi untuk kedua-dua haiwan itu.

    Laman web Oddity Central memetik National Geographic, melaporkan bahawa sehingga kini De Boer masih ingat efek yang ditimbulkan baju besi pertama yang dilihatnya semasa dia berusia lima tahun.

    Dia terpesona dan tertarik dengannya, ingin tahu bagaimana ia dibuat dan untuk apa tujuannya.

    Minatnya terhadap baju besi berterusan dan akhirnya berjaya membuat baju besi manusia pertamanya di sekolah menengah.

    Tetapi pengkhususan dalam pengajian di universitinya dalam bidang pembuatan perhiasan barangan kemas membuatkan dia sering memikirkan mencipta benda-benda yang berskala lebih kecil.

    Baju besi tikus pertama De Boer nampaknya berjaya lebih baik daripada yang dijangkanya, kerana dia terus membuat lebih banyak baju besi, dipengaruhi oleh pelbagai gaya sejarah, daripada samurai Jepun hingga baju besi Islamik.

    Tetapi seiring berjalannya waktu, dia menyedari bahawa dia memerlukan antagonis bagi tikus berbaju besinya untuk benar-benar mengusik imaginasi orang ramai. Dan dari situlah dia mula membuat baju besi kucing.

    Pengarca Kanada itu menekankan bahawa ciptaan yang dihasilkan dengan perincian yang teliti ini bukanlah untuk dipakai oleh haiwan sebenar. Dia pernah menerima tempahan untuk baju besi haiwan sebenar, namun ia gagal dipakai.

    Ketika itu, produser rancangan permainan Jepun telah membawa kucing yang sering berlakon dalam rancangan itu yang biasa memakai pakaian, tetapi mereka mendapati kucing itu sangat besar dan baju besi buatan De Boer pula terlalu kecil untuk dipakainya.

    Maka sejak itu, dia tidak pernah mengambil tempahan untuk baju besi haiwan yang boleh dipakai.

    Jadi, untuk siapa sebenarnya baju-baju besi tikus dan kucing buatan De Boer ini?

    Pelanggannya adalah orang-orang yang selalunya mempunyai minat mendalam dalam sejarah dan seni.

    Ramai yang meminta mereka menggunakan unsur-unsur gaya baju besi sejarah yang pelbagai, seperti gladiator Rom, Hussar Poland, Ottoman, samurai Jepun dan sebagainya.

    Disebabkan dia adalah tukang baju besi kucing dan tikus yang pertama dan sehingga kini satu-satunya di dunia, Jeff de Boer membuat semua bahagian dan beberapa alat yang diperlukan untuk set baju besi uniknya.

    Setiap satu mengandungi di antara 300 hingga 500 keping besi individu dan memerlukan beberapa puluh jam untuk disiapkan. Kebanyakannya dihasilkan daripada nikel, keluli atau loyang.

    Walaupun semua orang bebas mencipta kisah mereka sendiri terhadap set baju besi yang rumit ini, bagi Jeff de Boer sendiri, analoginya adalah kucing mewakili kekuatan dunia seni halus dengan karya seni bernilai berjuta-juta, manakala tikus mewakili artisan yang berusaha untuk terus menghidupkan kraf tangan itu. – Agensi

    Set baju besi unik yang ada kalanya mengandungi antara 300 hingga 500 besi individu yang memerlukan beberapa puluh jam untuk disiapkan.
    Arca baju besi tikus buatan De Boer.
    Kebanyakan baju besi yang dicipta oleh De Boer mempunyai unsur-unsur sejarah yang pelbagai.
    De Boer mereka baju besi kucing sebagai antagonis kepada tikus untuk mengusik imaginasi orang ramai.
    Antara baju besi tikus yang dicipta oleh De Boer.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...