GUANGZHOU – Semasa merancang perjalanan keluarga ke Tokyo, Jepun, Dr Sindhuja menyedari bahawa penerbangan mereka akan membuat persinggahan ke Guangzhou, China.
Dia mencadangkan kepada suaminya untuk melanjutkan percutian mereka dan melawat tempat tersebut sebelum pulang.
Ketika mereka dalam perjalanan ke Guangzhou, Dr Sindhuja melihat ke luar jendela dengan perasaan tidak sabar menantikan apa yang bakal mereka terokai, tetapi malangnya, tempat itu kelihatan usang jika dibandingkan dengan Jepun.
Pengembaraan ini turut disertai oleh anak lelaki dan perempuan Dr Sindhuja yang masih muda, serta ayahnya yang berusia 72 tahun. Dia mula tertanya-tanya sama ada ini adalah tempat yang sesuai untuk membawa mereka.
Walaupun gementar, dia bertekad untuk meneroka apa yang terdapat di Guangzhou. Di sana mereka telah tinggal di daerah Tianhe yang sibuk, terletak di pusat bandar. Selepas mendaftar masuk ke hotel, mereka keluar untuk mencari makanan.




Mereka pergi ke sebuah restoran dan dengan bantuan Google Translate dan memesan dua mangkuk besar mi dan juga daging. Mereka sangat menikmati hidangan tersebut.
Keesokan paginya, mereka menuju ke stesen kereta api bawah tanah Kompleks Sukan Tianhe, di mana terdapat pilihan untuk membeli pas hari tanpa had (perjalanan kanak-kanak di bawah enam tahun adalah secara percuma). Terdapat juga pemeriksaan keselamatan di setiap pintu masuk dan pegawai di sana sedikit sebanyak memberikan bantuan walaupun terdapat halangan bahasa.
Perhentian pertama mereka ialah Taman Yuexiu. Walaupun dalam keadaan hujan mereka masih bertekad untuk mencuba menaiki bot kayuh di tasik. Kemudian berjalan kaki ke makam Nanyue King Wen, yang terletak berhampiran stesen kereta api Taman Yuexiu.
Di taman itu, mereka berusaha untuk mencari arca Five Rams yang ikonik di Guangzhou dikenali sebagai City of Rams, terletak di sepanjang Tembok Bandar Ming purba.
Keesokan harinya, mereka keluar dari Guangzhou untuk pegi ke bandar utama lain iaitu Hong Kong. Bagi perjalanan ke sana, mereka menaiki kereta api peluru dari Stesen Kereta Api Timur Guangzhou ke Kowloon Barat.
Selepas selesai urusan imigresen, mereka seterusnya berjalan di sepanjang Canton Road, Victoria Harbour, Avenue Of Stars dan Tsim Sha Tsui Promenade, sambil menikmati keindahan pelabuhan.
Mereka juga berkesempatan pergi ke Mody Street dan Nathan Road, singgah di Peking Road untuk makan tengah hari dim sum Hong Kong yang wajib dicuba. Dalam perjalanan pulang ke Guangzhou, mereka memesan nasi ayam untuk makan malam yang sungguh menyelerakan.
Di Guangzhou, awda akan menemui laluan pejalan kaki di mana-mana jadi agak mudah untuk pergi ke tempat-tempat dengan berjalan kaki.
Mereka berjalan kaki ke rumah nenek moyang Bruce Lee di Enning Road dan melihat beberapa rumah tradisional Xi Guan. Di tempat itu, mereka boleh menikmati muzik opera Cina.
Seterusnya mereka menuju ke Pulau Shamian yang bersejarah untuk melihat warisan Eropah. Dalam perjalanan ke sana, mereka melalui Qing Ping Road yang menempatkan salah satu pasar herba tradisional terbesar di China.
Sementara itu, mereka juga sempat mengunjungi Teluk Gulong yang terletak setengah jam dari Guangzhou dengan menaiki kereta, dan pemandangannya sangat menakjubkan.
Semasa mereka menuju ke Yun Tian Boba (jambatan kaca), mereka disambut dengan air terjun Wangzang yang mengalir.
Mereka meneruskan pendakian dan berjalan melintasi jambatan kaca pertama, melihat lembah di bawah dengan setiap langkah. Terdapat juga ayunan di tepi tebing.
Semasa keluar dari jambatan kaca, Dr Sindhuja dan suami mengambil peluang untuk meluncur melintasi ngarai. Ia merupakan satu pengalaman yang sungguh menakjubkan!
Semasa turun, mereka sampai ke tapak rakit antarabangsa dan di tempat itu mereka berpeluang untuk mencuba menaiki rakit.
Mereka juga sempat menikmati ayam qingyuan yang terkenal di dunia (baka yang berasal dari China), di samping memesan panggang dan tanur.
Pada malam terakhir di Guangzhou, mereka turut berpeluang untuk melawat Sungai Pearl, Menara Canton, Jambatan Liede dan Jambatan Pejalan Kaki Haixin.
Di kawasan berhampiran mereka menemui pelbagai muzium, pameran seni, arked, rumah salji, tempat tarikan hutan hujan dengan haiwan hidup, gelanggang luncur ais, teater IMAX, rumah berhantu dan kedai makan.
Guangzhou telah mempamerkan gabungan yang baik antara tradisional dan moden.
Masyarakatnya sangat ramah, masakannya sedap, dan landskapnya memukau. Ia melebihi jangkaan dan memberikan mereka banyak kenangan indah yang kekal seumur hidup. – ANN/The Star

