Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cipta kenangan untuk hari istimewa

    Oleh Amri HTZ – 

    Menggembirakan hati seseorang dengan ucapan dan doa setelah meraih kejayaan atau menyambut hari yang berharga setentunya akan menceriakan lagi hari-hari mereka.

    Hal ini akan lebih memberikan impak jika disertai dengan sebuah hadiah sebagai kenang-kenangan. Selain mendapatkan dengan cara membelinya, apa kata awda merekanya sendiri bagi memberikan penghargaan luar biasa atas titik peluh sendiri.

    Dalam projek rekaan hadiah ini, ros diperbuat daripada loyang dan tembaga akan direka. Oleh itu sediakan barangan seperti:

    Bench vise
    Tukul
    Tembaga
    Loyang
    Gergaji besi
    Kikir
    Mesin gerudi
    Playar
    Pahat besi

    POTONG DAN RATAKAN HELAIAN TEMBAGA DAN LOYANG

    Tembaga yang akan digunakan pada projek ini berasal daripada paip gas pendingin hawa yang mudah untuk didapatkan.

    Sementara loyang terjual dalam bentuk helaian dan awda hanya memerlukan kira-kira 8 x 10 inci untuk satu rekaan. Sementara bagi paip tembaga, panjang 4 inci (tertakluk kepada diameter paip) diperlukan untuk menghasilkan dua lembar daun dan satu sepal. (Gambar 2)

    Gambar 1 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 2 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 3 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 4 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 5 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 6 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 7 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 8 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 9 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 10 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 11 – Gambar oleh Brokesmokes
    Gambar 12 – Gambar oleh Brokesmokes

    Sebelum memulakan proses pemotongan, lakar templat pada sekeping kertas yang kemudiannya dipotong sebagai panduan untuk memotong helaian tembaga dan loyang nanti. Selain melakarnya secara manual, awda juga boleh mendapatkannya secara dalam talian. Lakar setiap bentuk ½ inci lebih besar daripada sebelumnya dan tandakan bahagian tengahnya. Sekurang-kurangnya lima lapisan kelopak bunga diperlukan. (Gambar 3)

    Bagi memudahkan proses melekatkan templat pada permukaan tembaga, paip tersebut terlebih dahulu diratakan dengan cara memotong separuh salah satu permukaan. Ia kemudian ditukul rata berlapikkan sekeping kayu bagi mengelakkan permukaannya kemik.

    Ketika proses memotong paip tersebut, manfaatkan bench vice untuk mengekalkan kedudukan material. (Gambar 4)

    POTONG, LEKAT TEMPLAT

    Setelah meratakan paip tersebut, potong templat yang telah tersedia kemudian lekatkan pada permukaan loyang dan tembaga. Awda boleh memotongkan terus atau melakarnya semula dengan meniru bentuk luaran templat. Ini kerana sesetengah pereka lebih sukakan lakaran terus pada permukaan rekaan memandangkan masa yang diambil untuk kertas dilekatkan mengering dan kadang-kadang tertanggal semasa mengendalikannya. (Gambar 5)

    Selesai memotongnya, ratakan permukaan potongan yang tajam menggunakan kikir besi.

    Ini diikuti dengan menebuk bahagian tengah kelopak bunga dan sepal sementara bahagian hujung untuk daun. (Gambar 6)

    Bagi memberikan perincian pada rekaan terutama pada lembaran daun, permukaannya terlebih dahulu diketuk untuk meniru urat daun. Pahat besi akan digunakan pada langkah ini pada permukaan kerja seperti andas mahupun bench vise. (Gambar 7)

    Ini diikuti dengan membengkokkan lembaran daun berkenaan pada bahagian bawahnya meniru seperti daun alami. Bagi memudahkan awda mendapatkan bentuk diperlukan, ketuk material pada horn andas atau pada permukaan besi yang membulat secara perlahan-lahan sehinggalah bentuk diperlukan didapatkan. (Gambar 8)

    PERINCIAN BAHAGIAN LAIN PENTING

    Selain itu perincian juga akan diberikan pada sepal di mana bahagian sisinya akan dibentuk menggunakan kikir dan setiap lembarannya (kawasan sambungan) akan dipotong bagi membolehkan setiap lembaran dibengkokkan secara berasingan dan mudah. (Gambar 9)

    Dengan setiap bahagian telah tersedia, langkah seterusnya ialah mencantumkan kesemua bahagian menjadi satu menggunakan nat dan bolt tembaga. Dengan memastikan kepala bolt menghadap ke atas, masukkan satu persatu kelopak bunga bermula daripada ukuran paling kecil hingga paling besar diikuti dengan sepal dan daun. (Gambar 10)

    Sebelum mengetatkan nat pada bolt tersebut, pastikan awda menyu-sunkan kedudukan kelopak bunga secara berselang seli. Ini bagi memastikan ketika setiap bahagian dibengkokkan nanti, tidak terdapat ruangan tidak seimbang sekali gus mencacatkan rekaan. (Gambar 11)

    Langkah terakhir ialah membengkokkan setiap kelopak bunga satu persatu. Mulakan daripada bahagian atas (kelopak berukuran kecil) sehinggalah bentuk yang diperlukan didapatkan. Rujuk gambar sebenar sekuntum bunga ros bagi mendapatkan bentuk sebenar. (Gambar 12)

    Tip rekaan

    Gunakan playar jenis round nose untuk memudahkan proses membentuk kelopak bunga.
    Jika awda suka rekaan yang berkilat, gilap permukaan tembaga dan loyang menggunakan sisal wheel dan buffing compound berwarna putih sebelum membengkokkan dan mencantumkannya menjadi satu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda