Gambar AFP
NAIROBI – Dua lukisan Albert Einstein tergantung pada dinding di sebuah makmal sementara di pinggir Nairobi, memberi inspirasi kepada sepasang inovator Kenya yang belajar sendiri dan telah berjaya membina lengan prostetik bio-robotik daripada alat elektronik terbuang.
Moses Kiuna, 29, dan David Gathu, 30, yang merupakan sepupu, mencipta lengan prostetik pertama mereka pada tahun 2012 selepas jiran mereka kehilangan anggota badan dalam kemalangan industri.
Namun, ciptaan terbaharu mereka merupakan satu kejayaan besar, kata mereka.
Alat ini menggunakan penerima headset untuk menerima isyarat otak dan menukarnya kepada arus elektrik, yang kemudiannya dihantar ke penghantar yang kemudiannya menyalurkannya ke lengan tanpa wayar, membuatkan ia bergerak.
Semuanya berlaku dalam masa kurang daripada dua saat.

“Kami melihat orang yang hidup dengan kecacatan mengharungi banyak kesukaran dan berhasrat untuk menjadikan mereka lebih cekap,” kata Gathu kepada AFP.
Kiuna berkata lengan prostetik pertama mereka yang dihasilkan khas untuk jiran mereka, telah “membantu dia bergerak di sekitar rumahnya sendiri.”
Kos yang tinggi untuk lengan prostetik menyebabkan hanya satu daripada 10 orang yang memerlukan dapat mengaksesnya secara global, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pengecualian seperti ini menambah beban kecacatan.
“Kami mendapati Kenya mengimport lengan prostetik yang mahal,” kata Kiuna kepada AFP.
“Jadi kami bertanya pada diri kami sendiri, ‘Bagaimana kita boleh selesaikan masalah kita ini?”
Mereka mendapat jawapannya di tempat buangan besi buruk.
Sejak zaman sekolah, kedua-dua sepupu itu telah menyelongkar tempat pembuangan di sekitar ibu negara Kenya mencari barang-barang terbuang, kemudian menggunakannya semula untuk mencipta lebih banyak inovasi baharu.
Walaupun pendidikan konvensional tidak banyak membantu memenuhi rasa ingin tahu mereka, dengan Gathu berhenti sekolah pada usia 17 tahun dan Kiuna berhenti dari kolej beberapa tahun kemudian, tetapi minat mereka untuk belajar tidak pernah pudar.
Rak di dalam makmal yang kosong berhampiran rumah nenek mereka penuh dengan buku sains dan dinding beralaskan plat logam yang dihiasi dengan carta anatomi manusia atau jadual berkala.
“Kami belajar neurofisiologi dengan membaca buku dan duduk bersama doktor untuk menerangkan konsep kepada kami,” kata Gathu, menjelaskan bagaimana mereka mencipta lengan prostetik tersebut.
Ini hanyalah satu daripada banyak ciptaan yang dihasilkan oleh pasangan sepupu tersebut.
Ketika COVID melanda, mereka membina peranti untuk membersihkan duit kertas menggunakan teknologi inframerah kemudian, generator tenaga hijau yang menukarkan oksigen menjadi elektrik, bertujuan untuk menangani perubahan iklim.
“Dua orang ini membuktikan bahawa orang Afrika dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada teknologi dan sains seperti yang kita tahu,” kata Mukuria Mwangi, pengasas sekolah Jasiri Mugumo di Nairobi, yang menjalankan program untuk belia hingga 10 tahun.
Mwangi, yang sering menjemput Gathu dan Kiuna untuk menjadi mentor kepada kanak-kanak di sekolah itu, berkata kepada AFP bahawa sistem pendidikan di Kenya tidak banyak menggalakkan inovasi.
“Inovasi bukan disiplin yang digalakkan dalam sistem pendidikan kita, namun inovasi adalah apa yang akan memacu masa depan,” kata Mwangi.
Cabaran lain seperti kekurangan dana juga menghalang inovasi daripada menjadi tumpuan utama di negara Afrika Timur ini, seperti yang digambarkan dengan julah penemuan barangan terpakai di makmal Gathu dan Kiuna.
Kedua-dua sepupu itu berharap dapat mengubah lengan prostetik mereka dan ciptaan-ciptaan lain menjadi perniagaan yang berkembang.
“Kami mempunyai banyak idea lain yang dapat kami usahakan secara komersial, tetapi kami kekurangan pembiayaan kewangan dan sokongan,” kata Gathu. – AFP