Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cipta permainan kereta sorong untuk anak anda

    Oleh Amri HTZ

    MINAT untuk memiliki barangan permainan bagi golongan kanak-kanak sudah menjadi kebiasaan bagi para ibu bapa. Terkadang permainan yang ingin dimiliki begitu berharga dan sukar untuk didapatkan selain tidak mampu bertahan lama. Sebagai penjaga mereka, kita ingin memenuhi kehendak mereka demi memberikan proses pembesaran yang positif untuk masa depan mereka. Ikuti beberapa langkah mudah di bawah ini untuk mereka permainan dua dalam satu yang juga boleh dijadikan kerusi untuk mereka.

    Peralatan dan barangan penting

    Dalam projek ini, barangan dan peralatan yang diperlukan ialah kayu berukuran 2’’x1’’, kayu berbentuk bulat (dowel) berukuran ¾ inci, gerudi, skru, cat, fabrik, berus cat, gergaji, pita pengukur, mesin jahit, gam kayu, pengepit kayu dan roda kerusi.

    Penuhi keinginan anak kesayangan

    Langkah pertama ialah memotongkan dua batang kayu berukuran 2’’x1’’ menjadi ukuran 23’’ panjang. Pada bahagian hujung salah satu sudut kayu perlu dipotong dengan sudut 45 darjah. Sementara satu sudut lagi dengan bentuk 90 darjah akan ditebuk dengan lubang dengan jarak satu inci daripada bahagian sudut tersebut. Setelah itu lubang kedua juga diperlukan dengan jarak 5 inci daripada sudut hujung kayu 90 darjah sementara lubang ketiga dengan jarak 20 inci daripada sudut kayu yang sama. Tebuk lubang menggunakan mata gerudi berukuran ¾ inci menggunakan mesin gerudi dengan perlahan-lahan.

    Langkah kedua adalah mereka bahagian rangka kereta sorong kanak-kanak yang lainnya menggunakan kayu berukuran 2’’x1’’. Kali ini ukuran kayu 12 inci sebanyak dua batang diperlukan. Melalui langkah yang sama, tebuk lubang dengan ukuran ¾ inci dengan jarak satu inci daripada sudut hujung kayu 90 darjah. Gunakan mata gerudi yang sama seperti sebelumnya.

    Pada langkah seterusnya adalah memotongkan sebatang kayu dowel menjadi ukuran 11.5 inci panjang (dowel berukuran ¾ inci), dan tiga batang berukuran 10 inci panjang. Jika anda merasa sukar untuk mendapatkan kayu dowel dengan ukuran yang sama, gunakan kayu berbentuk bulat seperti kayu penyapu untuk langkah ini, tetapi gunakan mata gerudi dengan ukuran yang sama pada langkah menebuk lubang sebelumnya.

    Setelah kesemua bahagian rangka kereta sorong tersebut dipotong dan disediakan, kini anda perlu memotongkan fabrik yang disediakan untuk dijadikan tempat duduk kanak-kanak. Jika fabrik yang digunakan tidak cukup tebal, jalan penyelesaiannya adalah dengan melipatkan dua fabrik tersebut untuk memastikan ia kukuh ketika seseorang duduk di atasnya. Bahagian sisi fabrik tersebut perlu dilipat ke bahagian dalam untuk dijahit bagi menyembunyikan bahagian potongan. Setelah itu bahagian kedua-dua hujung fabrik tersebut perlu dilipat ke bahagian dalam dengan ukuran lebih kurang besarnya dengan kayu dowel yang digunakan.

    Langkah seterusnya adalah mencantumkan bahagian pertama rangka kereta sorong dengan menggunakan tiga batang dowel sebelumnya dan kayu berukuran 23 inci panjang. Sebelum mencantumkan dowel tersebut, anda mempunyai pilihan untuk mewarnakan kayu tersebut dengan warna yang diinginkan. Pada projek ini. warna putih akan digunakan untuk melindungi permukaan kayu selain memberikan hasil rekaan yang lebih baik. Setelah itu, masukan bahagian hujung fabrik yang telah dijahit tadi ke bahagian tengah dan bawah rangka kereta sorong (dowel) tersebut.

    Selesai memasukan dan mencantumkan bahagian pertama tadi, langkah seterusnya adalah mencantumkan kayu berukuran 12 inci dan dowel berukuran 11.5 inci tadi. Dengan mencantumkan kedua-dua bahagian rangka tadi, anda perlu mengekalkan kedua-dua bahagian tersebut menggunakan skru seperti yang boleh dilihat pada gambar.

    Langkah terakhir adalah memasangkan tayar pada bahagian kaki kereta sorong tersebut. Dengan mencantumkan kayu berbentuk bulat yang telah disediakan menggunakan skru pada keempat-empat bahagian kaki, pasangkan roda kerusi pada bahagian tersebut. Pilih roda kerusi yang diperbuat khusus untuk menampung beban berat lebih daripada 25 hingga ke 30 kilogram.

    Dengan memasangkan roda pada bahagian kaki kereta sorong kanak-kanak tersebut, kini hanya tinggal anda sendiri mencuba dengan cara memberi sedikit tekanan pada bahagian tempat duduk untuk memastikan ia kukuh dan memeriksa kesemua bahagian rangka kerusi bagi memastikan ia selamat untuk anak anda. Setelah semuanya dirasakan dalam keadaan sempurna, kini anda hanya perlu menyuruh anak anda duduk sambil mendorongnya, atau biarkannya menjadi sebahagian daripada alat permainan mereka!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda