Cipta rekod hasil dron kargo saiz besar

BATU PAHAT, 20 SEPT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas kejayaannya menghasilkan dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia, dikenali sebagai C-Drone.

Ketua Projek Prof Madya Dr Zamri Omar berkata kejayaan itu disifatkan sebagai menjadi hadiah kepada universiti tersebut, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-28 pada 16 September lalu.

Beliau berkata projek dron berkenaan yang bermula Jun 2019 mengambil masa kurang dua tahun dan selesai April tahun ini, dijayakan oleh sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang dari pelbagai kepakaran, serta dibantu sekumpulan pelajar selain nasihat pakar daripada universiti tempatan, juga pihak industri.

Buat masa ini, prototaip C-Drone ini telah direka bentuk, dibina dan diuji terbang di UTHM sendiri selain melalui ujian penerbangan di dalam makmal, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Kita jangkakan akan membuat penerbangan pertama seawalnya bulan hadapan dan selewat-lewatnya bulan Disember, dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram (kg),” tambah Zamri.

Jelas Zamri, projek tersebut bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang dengan kesemuanya dilaksanakan di dalam fasiliti makmal projek C-Drone, yang berlokasi di kampus induk UTHM Parit Raja, di sini.

“C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia adalah dari jenis ‘Multirotor Vertical Takeoff and Landing’ (VTOL). Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala berat kasarnya pula sekitar 400kg.

“Projek pembangunan C-Drone ini bertujuan untuk menghasilkan suatu pembuktian konsep (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar ini boleh dibina, dan ia berupaya beroperasi dengan baik,” katanya. – Bernama

Ketua Projek C-Drone, UTHM, Prof Madya Dr Zamri Omar (tiga, kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada pihak MBOR selepas dron ciptaan penyelidik UTHM berjaya menghasilkan satu dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia. – Bernama