Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Cipta robot penyelamat mangsa terperangkap

    GAZA – Tiga remaja Palestin dari Semenanjung Gaza telah mencipta robot penyelamat yang boleh membantu mengesan orang yang terperangkap di bawah bangunan runtuh.

    Peranti miniatur berbentuk kereta yang dilengkapi dengan fungsi kawalan jauh Wi-Fi, telah dicipta oleh Rama Ibrahim, abangnya Ahmed, dan rakan sekelas mereka Yousef Aqil, yang kesemuanya adalah pelajar sekolah menengah, selepas beberapa bulan melakukan penyelidikan dan eksperimen.

    Dipasang dengan kamera dan penggera, robot penyelamat itu boleh dikendalikan melalui aplikasi telefon bimbit, dan memberitahu pasukan penyelamat dengan bunyi bip dan sistem push notification pada telefon bimbit, kata pelajar itu kepada Xinhua.

    “Kami mendapat idea untuk mencipta robot sebegitu selepas tamat gelombang terbaharu keganasan tentera di Semenanjung Gaza tahun lalu, di mana berpuluh-puluh orang awam terperangkap dan kehilangan nyawa mereka,” kata Rama.

    Pada 10 Mei 2021, Israel dan Hamas, puak pemerintah Gaza, memulakan pertempuran yang kemudiannya disifatkan sebagai paling sengit sejak 2014, yang berlangsung selama 11 hari dan membunuh lebih 260 rakyat Palestin dan 14 warga Israel.

    Pasangan adik beradik Palestin Rama (kiri) dan Ahmed Ibrahim (tengah) serta rakan sekelas mereka Yousef Aqil memeriksa robot ciptaan mereka di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza. – Xinhua
    Kelihatan tiga remaja Palestin mencuba robot penyelamat yang boleh membantu mengesan orang yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan. – Xinhua

    Serangan tentera Israel berlaku selepas militan pimpinan Hamas melepaskan roket bertubi-tubi ke bandar-bandar utama Israel sebagai tindak balas terhadap provokasi Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

    “Malangnya, kami terperangkap dalam zon konflik yang menyaksikan konflik berterusan, yang bermakna kami harus bersedia menghadapi keadaan yang teruk pada masa hadapan,” kata Youssef Aqil kepada Xinhua.

    Rama berkata pasukan penyelamat tempatan berdepan kesukaran yang besar untuk menemukan mangsa yang terperangkap berikutan pengeboman yang berterusan dan gangguan bekalan elektrik.

    Oleh itu, mereka mempunyai keperluan yang besar untuk memanfaatkan kecerdasan buatan dan membina robot yang boleh membantu mencari penyelesaian yang membolehkan pasukan penyelamat mencapai mereka yang cedera secepat mungkin, kata mereka.

    “Saya dan rakan-rakan mengkaji idea membina robot dan menetapkan rancangan masa untuk itu, kerana kami bergantung kepada penggunaan alat elektronik yang tersedia yang ada pada kami, di mana kebanyakannya sisa permainan elektronik yang rosak atau alat elektrik yang tidak digunakan,” katanya.

    Aqil menambah robot itu boleh mencapai mangsa melalui laluan yang sempit, dengan harapan ciptaan sebegitu dapat menyumbang kepada melindungi pasukan penyelamat daripada terdedah kepada bahaya.

    Ketiga-tiga pelajar itu berdepan kesukaran semasa menghasilkan robot itu memandangkan kekurangan hampir semua bahan yang diperlukan, termasuk kamera Quadcopter yang kecil dan tepat, selain harga peralatan lain yang tinggi.

    “Walaupun terdapat halangan ini, kami tetap tegar untuk membuat bentuk awal robot ini,” kata Ahmed Ibrahim kepada Xinhua, sambil menambah mereka kini sedang berusaha untuk menukar bentuk robot itu untuk meniru bentuk ular yang boleh mencapai kawasan paling sempit. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...