Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cipta semula roti berusia 5,000 tahun

    ESKISEHIR, TURKIYE – Pada awal Zaman Gangsa, sebuku roti ditanam di bawah ambang pintu yang baru dibina di kawasan yang kini dikenali sebagai tengah Turkiye.
     
    Kini, lebih 5,000 tahun kemudian, ahli arkeologi telah menggalinya, dan membantu sebuah kedai roti tempatan mencipta semula resipi itu – dengan pelanggan beratur untuk membelinya.
     
    Bulat dan rata seperti penkek, dengan diameter 12 sentimeter (lima inci), roti itu ditemui semasa kerja-kerja penggalian di Kulluoba, sebuah tapak berhampiran bandar Anatolia tengah Eskisehir.
     
    “Ini adalah roti bakar tertua yang pernah ditemui semasa penggalian, dan sebahagian besarnya dapat mengekalkan bentuknya,” kata Murat Turkteki, ahli arkeologi dan pengarah penggalian.
     
    “Roti jarang ditemui semasa penggalian. Biasanya, awda hanya menemui serpihan,” katanya kepada AFP.
    Gambar menunjukkan roti Kulluoba berusia 5,000 tahun yang digali dalam usaha penggalian di wilayah Eskisehir, tengah Turkiye. – AFP
    ATAS & BAWAH: Pekerja Halk Ekmek mengadun dan memotong doh untuk menghasilkan roti Kulluoba. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar menunjukkan roti Kulluoba yang telah masak. – AFP
    Ahli arkeologi Murat Turkteki (kanan) dan Deniz Sari melihat rumah lama di tapak penggalian Kulluoba, tengah Turkiye. – AFP
    Seorang pekerja mengendalikan roti Kulluoba yang telah masak. – AFP
    Gambar menunjukkan tepung emmer, einkorn dan lentil serta bijirin lentil dan bulgur yang telah masak, ramuan untuk roti Kulluoba. – AFP
    Seorang pekerja Halk Ekmek memasukkan roti Kulluoba dalam bungkusan plastik. – AFP
    Gambar pemandangan udara menunjukkan tapak penggalian Kulluoba di wilayah Eskisehir. – AFP
    Gambar AFP
    “Tetapi di sini, ia terpelihara kerana ia telah dibakar dan tertimbus,” katanya.
     
    Roti itu hangus dan ditanam di bawah pintu masuk sebuah kediaman yang dibina sekitar 3,300 SM.
     
    Secebis telah terkoyak, sebelum roti dibakar, kemudian ditanam apabila rumah itu dibina.
     
    “Ia membuatkan kami berfikir tentang ritual kemakmuran,” kata Turkteki.
     
    ‘TERHARU DENGAN PENEMUAN INI’ 
     
    Digali pada September 2024, roti hangus itu telah dipamerkan di Muzium Arkeologi Eskisehir sejak Rabu.
     
    “Kami sangat terharu dengan penemuan ini. Bercakap dengan pengarah penggalian kami, saya tertanya-tanya sama ada kami boleh menghasilkan semula roti ini,” kata Datuk Bandar itu, Ayse Unluce.
     
    Analisis menunjukkan bahawa roti itu dibuat dengan tepung emmer yang dikisar kasar, pelbagai jenis gandum purba dan biji lentil, dengan daun tumbuhan yang belum ditentukan digunakan sebagai yis.
     
    Benih emmer purba tidak lagi wujud di Turkiye.
     
    Untuk menghasilkan roti seberapa sama dengan resipi asal, majlis perbandaran, selepas menganalisis roti kuno itu, memutuskan untuk menggunakan gandum Kavilca, jenis yang hampir sama dengan emmer purba, serta bulgur dan lentil.
     
    Di kedai roti Halk Ekmek (bermaksud ‘Roti Rakyat’ dalam bahasa Turkiye), yang dipromosikan oleh majlis perbandaran untuk menawarkan roti kos murah, pekerja telah membentuk 300 roti Kulluoba dengan tangan setiap hari.
     
    “Gabungan tepung gandum nenek moyang, lentil dan bulgur menghasilkan roti yang kaya, mengenyangkan, rendah gluten, tanpa pengawet,” kata Serap Guler, pengurus kedai roti itu.
     
    Roti Kulluoba pertama, dipasarkan sebagai kek seberat 300 gram (11 auns) yang berharga 50 lira Turkiye (kira-kira AS$1.28), habis dijual dalam masa beberapa jam.
     
    “Saya bergegas kerana takut tidak ada lagi yang tinggal. Saya ingin tahu tentang rasa roti peruba ini,” kata pelanggan, Suzan Kuru.
     
    TAHAN KEMARAU 
     
    Tanpa jejak bertulis, tamadun Kulluoba sebahagian besarnya kekal misteri.
     
    Pada Zaman Gangsa, penduduk Hattian, puak Anatolia yang mendahului orang Hittite, tinggal di wilayah Eskisehir.
     
    “Kulluoba ialah kelompok bandar bersaiz sederhana yang terlibat dalam aktiviti komersil, kraf, pertanian dan perlombongan. Jelas terdapatnya susunan keluarga dan sosial tertentu,” kata ahli arkeologi Deniz Sari.
     
    Penemuan semula roti telah mencetuskan minat dalam penanaman gandum purba yang lebih baik disesuaikan dengan kemarau.
     
    Dulu kaya dengan sumber air, wilayah Eskisehir kini mengalami musim kemarau.
     
    “Kami menghadapi krisis iklim, tetapi kami masih menanam jagung dan bunga matahari, yang memerlukan banyak air,” kata Unluce, datuk bandar tempatan.
     
    “Nenek moyang kami mengajarkan satu pengajaran. Seperti mereka, kita sepatutnya beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan air,” tambahnya.
     
    Datuk Bandar mahu menghidupkan semula penanaman gandum Kavilca di rantau ini, yang tahan terhadap kemarau dan penyakit.
     
    “Kami memerlukan dasar yang kukuh mengenai perkara ini. Menanam gandum purba akan menjadi langkah simbolik ke arah pencapaian matlamat berkenaan,” katanya.
     
    “Tanah-tanah berkenaan telah memulihara roti ini selama 5,000 tahun dan memberi kami anugerah ini. Kami mempunyai kewajipan untuk melindungi warisan ini dan mewariskannya kepada generasi akan datang.” – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda