MILAN, 30 JULAI – Ciro Immobile hanya memerlukan satu gol untuk menyamakan rekod penjaring terbanyak Serie A dalam satu musim selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan semalam apabila Lazio berjaya menewaskan Brescia 2-0 untuk terus merebut tempat kedua liga.
Immobile menjaringkan gol liga ke-35nya pada minit ke-82 di Rom untuk mengejar rekod yang dipegang oleh Gonzalo Higuain dengan 36 gol, yang dijaringkan untuk Napoli pada musim 2015-16.
Dengan hanya berbaki satu perlawanan di Serie A, Lazio berada di kedudukan keempat, berkongsi mata yang sama sebanyak 78 mata dengan Atalanta yang berada di tempat ketiga, yang mengalahkan Parma 2-1 dalam
perlawanan dua hari lepas dan satu mata di bawah Inter Milan yang berada di tempat kedua setelah menang 2-0 ke atas Napoli.
Ketiga-tiga pasukan menyasarkan tempat kedua di belakang Juventus, yang merangkul gelaran Serie A kesembilan berturut-turut pada hujung minggu lalu.
Inter akan bertemu Atalanta dalam perlawanan pada hujung minggu ini sebagai perlawanan terakhir, di mana Lazio menentang Napoli yang berada di tempat ketujuh.
Immobile memberikan assist kepada Joaquin Correa untuk membuka jaringan di minit ke-16 di Stadium Olimpico.
Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo ketinggalan empat gol di belakang Immobile.
Pasukan empat teratas telah disahkan layak ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan AC Milan terus memberi tekanan kepada Roma yang berada di tempat kelima untuk menempah satu tempat di Liga Europa.
Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol dan satu assist ketika Milan mengalahkan Sampdoria 4-1, meninggalkan pasukan Stefano Pioli satu mata di belakang Roma.
Pemain Sweden yang berusia 38 tahun itu menjaringkan gol dari hantaran Ante Rebic di minit keempat di Genoa dan merupakan gol terpantasnya di liga Itali.
Ibrahimovic kemudian membantu menambah jaringan kedua, memberikan hantaran kepada Hakan Calhanoglu enam minit selepas rehat.
Pemain sayap Turki Calhanoglu melakukan hantaran lintang yang membolehkan Ibrahimovic menambah gol keduanya pada malam itu. – AFP