Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cita rasa coklat Jepun takluki Belgium

    BELGIUM – Ketika Yasushi Sasaki berpindah dari Jepun ke Belgium pada usia 19 tahun, dia tidak bercakap sepatah pun dalam bahasa Perancis dan tidak tahu apa yang akan dia lakukan dalam hidupnya.

    Bulan lalu, pada usia 52 tahun, dia dinobatkan sebagai coklat terbaik Brussels oleh pembimbing permakanan, Gault&Millau yang berprestij.

    “Setiap kali saya pulang ke Jepun dan menyebut Belgium, orang akan berkata kepada saya ‘Ahhh…. coklat!” Sasaki memberitahu AFP.

    Digelar sebagai ‘pakar rasa’ oleh pembimbing permakanan, Sasaki menjalankan eksperimennya di sebuah bengkel kecil di belakang kedainya, di daerah Brussels di Woluwe-Saint-Pierre.

    “Coklat? Dari saat saya memilih profesion itu ia menjadi pekerjaan seumur hidup saya,” katanya. “Ia adalah hobi, pekerjaan, keseronokan.”

    Sasaki menunjukkan coklat teh hijau yang dihasilkannya. – AFP
    Gambar AFP
    Sasaki menyediakan ganache coklat teh hijau. – AFP
    Sasaki membungkus ganache coklat teh hijau. – AFP

    “Saya tidak tahu apa-apa, saya bermula dari awal. Tetapi saya rasa telah membuat pilihan yang tepat.”

    Berasal dari Nara, berhampiran bandar Osaka, Sasaki mendapat inspirasi dari tanah airnya tetapi dengan sentuhan ringan. Tidak semua perisa Jepun sesuai dengan coklat ganache atau praline.

    “Teh hijau sangat kuat dan bergabung dengan sangat baik. Begitu juga dengan yuzu,” buah sitrus itu, jelasnya sambil menghulurkan tips kepada pasukan kakitangannya yang terdiri daripada remaja Jepun.

    “Tetapi tidak untuk buah kaki dan mandarin.”

    Sasaki memilih pembekalnya dengan berhati-hati. Teh hijau misalnya berasal dari Kyoto, di mana dia memesan terus daripada sepupu yang bekerja di sektor itu.

    Dengan harga koko yang melambung tinggi, beliau juga berhati-hati mengawal kos.

    “Kami bukan sahaja tukang yang berkemahiran tetapi juga ahli perniagaan,” katanya.

    “Untuk terus bekerja sebagai artisan, kami perlu menjual apa yang kami hasilkan.”

    Sasaki mungkin telah mempelajari perdagangan di Brussels tetapi dia tidak menganggap dirinya pewaris tradisi Belgium.

    “Saya ada cara sendiri, citarasa sendiri,” katanya. “Saya tahu kekuatan saya adalah cara saya sendiri, bukan meniru orang lain.”

    Hari ini, Sasaki mengeksport hasil ciptaannya kembali ke negara asalnya, di mana jualan meningkat sekitar hari Valentine, di mana ia merupakan detik penting coklat dalam setahun di Jepun.

    Apabila Hari Easter semakin hampir, dia bersedia untuk satu lagi perayaan besar bagi kalendar coklat.

    Memandangkan dia sangat gembira kerana diberi penghormatan oleh Gault&Millau, Sasaki akan mempunyai satu kata nasihat untuk buku panduan itu – untuk memberitahu pemenangnya sebelum didedahkan kepada umum, supaya mereka mempunyai masa untuk membuat persediaan.

    “Ia satu kesan besar yang berlaku secara tiba-tiba,” kata Sasaki, di mana hasil perolehan tiba-tiba meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus.

    Sekarang Sasaki tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memperkembangkan perniagaannya.

    “Saya telah membuat coklat selama bertahun-tahun. Saya hanya akan terus membuat perkara yang baik, yang biasa saya lakukan” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda