Oleh Rafidah Jumat
Pastinya setiap kali kita berkunjung ke sebuah negara yang majoritinya bukan beragama Islam, kita akan berdepan kesukaran dan cabaran untuk mencari restoran atau sajian makanan yang halal khususnya bagi pelancong Islam.
Apabila berpeluang menerima undangan daripada Perkhidmatan Maklumat dan Budaya Korea (KOCIS) untuk liputan pertukaran dan kerjasama ASEAN-Korea baru-baru ini, penulis meminta dibawa ke sebuah restoran halal untuk dikongsi kepada pembaca.
Wakil KOCIS membawa penulis ke Itaewon iaitu sebuah kawasan menempatkan barisan restoran halal yang menyajikan pelbagai menu hidangan untuk dinikmati orang Islam.
Bombay Grill yang merupakan restoran diperakui halal menjadi pilihan KOCIS untuk rencana saya tetapi sebaik terpandang menu di luar restoran yang menyajikan masakan India, penulis merasa sedikit hampa kerana hasrat di hati adalah untuk merasai hidangan asli ‘Halal Korea’.
Masuk sahaja ke dalam, kami disambut oleh tukang masak restoran yang menyuruh kami duduk sebelum pemilik restoran datang dan memberi salam.




Pemilik restoran ini yang juga Presidennya, Javed Iqbal memberitahu yang restorannya menawarkan masakan India-Korea. Masakan Korea hanya akan dimasak jika ada permintaan, katanya.
Cabaran-cabaran utama
Kebanyakan pelanggannya ialah pelajar universiti selain turut menerima kunjungan dari diplomatik dan pelancong Islam.
Menurut pengalamannya, pelancong Islam yang datang ke Korea mampu bertahan dua ketujuh hari tanpa makanan asal mereka tetapi selepas itu, mereka akan mula mencari makanan mereka, katanya yang telah membuka restoran ini pada tahun 2014.
Tambahnya, bukan mudah untuk mendapatkan daging halal di Korea dan tempat penyembelihan daging ayam halal pula terletak satu jam perjalanan dari Seoul manakala daging halal diimport dari Australia.
Dia yang berasal dari Pakistan turut mengongsikan cabaran yang dihadapinya apabila terpaksa menutup satu cawangannya di Myeong-dong Street yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di bandaraya Seoul disebabkan pelanggan yang menjamu hidangannya sering membawa masuk minuman alkohol ke dalam restorannya.
Bombay Grill ini terletak tidak jauh dari Seoul Central Mosque, kira-kira 10 minit perjalanan kaki, dan penulis difahamkan masjid ini merupakan sebahagian dari sejarah perkembangan Islam di Korea, yang dibina pada tahun 1974 dan memuatkan 3,000 jemaah.
“Pada Jumaat terakhir bulan Ramadan lalu, restoran saya telah memasak tiga tan beras basmati untuk disedekahkan kepada 1,000 jemaah masjid untuk mereka berbuka puasa,” jelasnya sambil menambah terdapat kira-kira 35,000 ke 40,000 orang Islam tinggal di Seoul, Korea, dan jumlah ini didapati terus meningkat.
Semasa menikmati nasi beriani yang disajikan, penulis merasakan tekstur nasi yang lembut dan beraroma tambahan lagi apabila dihidangkan dengan ayam yang dimasak bersama rempah ratus membuatkan nasi beriani ini berbeza dengan yang pernah penulis rasa.
Penulis difahamkan ada empat kategori restoran halal di Korea iaitu pertama, restoran diperakui halal yang sudah diberikan sijil halal oleh Persekutuan Korea Islam.
Kedua, restoran self-certified iaitu semua menu yang disajikan diberi sijil halal oleh pemiliknya sendiri yang beragama Islam.
Ketiga, muslim friendly iaitu restoran yang menyediakan menu halal tetapi masih menjual minuman alkohol dan keempat, bebas khinzir iaitu restoran yang tidak menawarkan menu halal tetapi bebas daripada penggunaan daging khinzir serta masih menjual minuman alkohol.
Kerajaan Korea telah menyediakan 170 bilik solat dan 270 restoran halal di seluruh Korea untuk memudahkan lagi warganya dan pelancong Islam.