Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Citi jual perniagaan perbankan pengguna Asia Tenggara

    SINGAPORE, 14 JAN – Syarikat gergasi kewangan AS, Citigroup berkata hari ini ia akan menjual perniagaan perbankan penggunanya di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam dengan harga AS$3.6 bilion, sambil ia meneruskan rancangan penyelarasan global.

    United Overseas Bank (UOB) Singapura akan membeli francais itu, termasuk perbankan runcit dan perniagaan kad kredit Citi.

    Jumlah harga pengambilalihan ialah AS$3.6 bilion.

    Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, kira-kira 5,000 pekerja Citi dijangka berpindah ke UOB, kata pemberi pinjaman itu.

    Jualan itu adalah sebahagian daripada rancangan Citi untuk menyelaraskan operasi globalnya dan memberi tumpuan kepada pelanggan institusi, bukannya perbankan pengguna.

     

    Bank itu sebelum ini mengumumkan ia akan keluar daripada francais pengguna di beberapa pasaran di seluruh Asia-Pasifik dan di tempat lain.

    Mark Mason, ketua pegawai kewangan Citi, berkata bahawa “penjualan empat pasaran pengguna ini, bersama-sama dengan urus niaga kami yang diumumkan sebelum ini, menunjukkan rasa mendesak kami untuk melaksanakan strategi baharu kami”.

    Wee Ee Cheong, timbalan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif UOB, berkata bank itu “percaya pada potensi jangka panjang Asia Tenggara dan kami telah berdisiplin, selektif dan sabar dalam mencari peluang yang sesuai untuk berkembang”.

    Urus niaga itu dijangka selesai antara pertengahan 2022 dan awal 2024 bergantung pada kemajuan kelulusan kawal selia, kata Citi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...