LONDON, 26 Feb – Manchester City menghadiahkan Pep Guardiola trofi pertamanya dengan tiga pemain veteran pasukan itu menemui sasaran dalam kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Arsenal di Wembley.
Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva tersenarai sebagai penjaring ketika City menjulang trofi itu buat kali kelima, hanya Liverpool memenangi lebih banyak trofi Piala Liga.
Ia adalah respons terbaik daripada pendahulu Liga Perdana itu selepas usaha mereka mencipta empat kejuaraan berakhir dengan kekalahan mengejut kepada pasukan dari League One.
“Ia adalah penting. Kami sangat gembira dan tahniah kepada Manchester City dan penyokong kami. Trofi ini adalah untuk Manchester City.
“Separuh masa pertama kami tidak mengawal bola, terdapat beberapa kesilapan. Di separuh masa kedua, kami bermain dengan penuh semangat dan personaliti, kami luar biasa,” kata Guardiola.

Gol pertama City di separuh masa pertama, hadir dalam keadaan ganjil memandangkan pasukan itu terkenal dengan permainan hantaran pendek.
Satu hantaran jauh daripada Claudio Bravo dikawal dengan baik oleh Sergio Aguero, yang tenang melambungkan bola melemaskan David Ospina di gawang Arsenal.
Kapten Man City, Kompany menggandakan kelebihan di separuh masa kedua ketika perlawanan memasuk sejam, dan Silva meletakkan skuad Arsene Wenger sukar untuk bangkit.
“Ia adalah perlawanan sukar, tetapi kami bermain dengan sangat baik dan mengawal semua ruang, saya bangga dengan pasukan,” kata Kompany.
“Menang 3-0 di Wembley adalah satu keputusan yang menakjubkan menentang mana-mana lawan.”
Pendahulu Liga Perdana itu berharap untuk menggunakan kemenangan itu sebagai batu loncatan bagi meraih kegemilangan ketika musim ini menghampiri penghujungnya, tetapi bagi Wenger, kekalahan itu bermakna pengurus Arsenal itu masih belum pernah menjulang piala itu.
City dilihat bakal memenangi gelaran Liga Perdana, bahkan sudah selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas membenam Basel dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir. – AFP