Citizens menang mudah benam West Ham

MANCHESTER, 20 FEB – Manchester City menang selesa 2-0 ke atas West Ham kelmarin, dengan pasukan kendalian Pep Guardiola kembali beraksi buat kali pertama selepas kelab tersebut digantung selama dua tahun daripada menyertai perlawanan Eropah.

Gol yang dijaringkan oleh pemain tengah Citizens, Rodri dan pemain perancang utama mereka, Kevin De Bruyne, telah membangkitkan semangat mereka untuk mempertahankan kedudukan kedua di Liga Perdana Inggeris.

Manchester City digantung dari menyertai Liga Juara-juara dan Liga Eropah dengan tuduhan melanggar peraturan kewangan fair play, dan ini telah menyebabkan kemarahan sepanjang minggu dari Manchester City di mana mereka percaya UEFA mempunyai agenda untuk menentang pemilik kelab yang berasal dari Abu Dhabi .

Stadium Etihad kelihatan kosong dan dianggarkan sebanyak 10,000 tempat duduk kosong sebelum sepak mula.

Para penyokong Citizen turut membuat demonstrasi dengan sepanduk bertulis ‘UEFA Cartel’ dan ‘UEFA Mafia’, serta melaungkan sokongan mereka terhadap pemilik kelab, Sheikh Mansour dan ketua jurulatih, Pep Guardiola.

Aksi perancang utama Citizen, Kevin De Bruyne, membantu Man City menang ke atas West Ham United 2-0. – AP

Mereka turut memprovokasi UEFA dengan laungan “Kami akan jumpa kamu di mahkamah” dan menyanyikan lagu-lagu kesat terhadap badan pengurusan bola sepak itu.

Namun para peminat mula menghidupkan stadium dengan sorakan gemuruh apabila tandukan Rodri merobek gawang lawan pada minit ke-29, memberikan City pendahuluan dalam perlawanan yang dikawal sepenuhnya oleh pasukan itu dan berakhir 2-0.

Apa yang pasti, suasana perlawanan pada malam Liga Juara-juara di Etihad apabila City menentang Real Madrid pastinya berbeza, dengan Real Madrid akan berkunjung ke Etihad pada 17 Mac nanti dalam pusingan kedua 16 terakhir.

Ketua eksekutif City, Ferran Soriano, dengan tegas membincangkan langkah-langkah berhadapan dengan konfrontasi mereka dengan UEFA.

“Kami ingin memberitahu peminat dua perkara. Satu, tuduhan tersebut adalah palsu,” menurut Soriano, yang memaklumkan bahawa kelab tersebut akan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CASS).

“Dan yang kedua, kami akan melakukan segala-galanya untuk membuktikannya.”

Pengurus kelahiran Sepanyol, Guardiola turut menunjukkan kedegilan, berjanji akan bersama kelab tersebut dan menyokong keputusan kelab untuk membantah penggantungan tersebut.

“Ia belum berakhir. Pihak kelab percaya ia tidak adil jadi kami akan meneruskan rayuan.

Kami akan terus membantah seperti mana kami berjuang dalam setiap perlawanan,” Guardiola memberitahu media selepas perlawanan.

“Kami optimis kebenaran akan ditegakkan dan musim depan kami akan beraksi di Liga Juara-juara musim depan.

“Tidak kira apa keputusannya saya akan tetap berada di sini musim depan,” tambahnya. – AFP