Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    City, Ait-Nouri meterai kontrak

    MANCHESTER, 10 JUN – Manchester City menyempurnakan pembelian bek kiri, Rayan Ait-Nouri, daripada Wolves kelmarin dengan bayaran £31 juta (AS$42 juta).

    Pemain antarabangsa Algeria berusia 24 tahun itu telah menandatangani kontrak lima tahun dan akan bermain untuk Piala Dunia Kelab, yang akan bermula akhir minggu ini.

    Ait-Nouri dijangka merupakan salah seorang daripada tiga muka baharu City untuk kejohanan itu dengan tawaran hampir selesai untuk pemain tengah AC Milan, Tijjani Reijnders dan pemain perancang Lyon, Rayan Cherki.

    Selepas terlepas trofi utama dalam musim yang baru tamat buat kali pertama sejak 2016/17, City berharap untuk bangkit semula dengan segera melakukan rombakan skuad secara besar-besaran.

    Mereka juga membelanjakan lebih daripada £172 juta Januari lalu untuk Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov, Vitor Reis dan Nico Gonzalez.

    City akan menentang pasukan Maghribi Wydad AC dan kelab Emirati Al Ain sebelum pertembungan dengan pasukan kelas berat Eropah, Juventus, di peringkat kumpulan yang bermula pada 14 Jun.

    “City adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia dan peluang untuk bermain untuk kelab itu adalah impian yang nyata,” kata Ait-Nouri dalam satu kenyataan kelab.

    “Saya juga sangat teruja untuk bekerja dengan dan belajar daripada Pep (Guardiola) dan pasukan bimbingannya serta berlatih dan bermain bersama kumpulan pemain bertaraf dunia seperti itu,” tambahnya.

    Ait-Nouri menghabiskan lima tahun di Wolves, pada mulanya tiba secara pinjaman daripada Angers sebelum menandatangani secara kekal dengan harga £14.9 juta pada 2021. – AFP

    Pemain tengah Bournemouth, Lewis Cook (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola dengan Ait-Nouri semasa perlawanan bola sepak di Stadium Vitality di London pada 1 Mac. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda