Saturday, February 22, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    City bakal terima kunjungan Liverpool

    LONDON, 21 FEB – Perjalanan Liverpool menuju kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin perlahan menjelang pertemuan dengan Manchester City pada Ahad ini, memberikan harapan kepada Arsenal untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga itu.

    The Gunners boleh mengurangkan jurang kepada lima mata jika mereka menewaskan West Ham di Emirates.

    Di belakang dua pasukan teratas, persaingan bagi tempat ke Liga Juara-juara musim depan semakin sengit. Hanya enam mata memisahkan Nottingham Forest di tempat ketiga dengan Newcastle di tangga ketujuh sebelum kedua-dua pasukan bertemu di St James’ Park. 

    Pasukan kendalian Arne Slot kelihatan selesa menuju gelaran liga ke-20 mereka, yang bakal menyamai rekod tertinggi liga.

    Namun, keputusan seri 2-2 menentang Everton dan Aston Villa dalam 10 hari terakhir telah menghidupkan semula saingan kejuaraan.

    Sementara itu, Manchester City, kuasa dominan bola sepak Inggeris dalam dekad terakhir, tersingkir daripada Liga Juara-juara selepas dibelasah Real Madrid, gagal mara ke pusingan 16 buat kali pertama sejak musim 2012/13.

    Juara Inggeris itu mungkin juga kehilangan Erling Haaland, yang tidak diturunkan ketika di Santiago Bernabeu akibat kecederaan.

    Namun, skuad kendalian Pep Guardiola masih menunjukkan keupayaan mereka dengan kemenangan 4-0 ke atas Newcastle minggu lalu dan turut memerlukan mata dalam perebutan tempat ke empat teratas.

    “Mereka mungkin hanya mengalami satu atau dua bulan yang kurang baik sepanjang tujuh atau lapan tahun Guardiola di sana, mungkin juga kerana kecederaan,” kata Slot.

    “Kecederaan kembali pulih, mereka menandatangani tiga atau empat pemain dan jika melihat keputusan menentang Newcastle, saya dapat lihat mereka mula bangkit semula.” – AFP

    Pertemuan terakhir antara Liverpool dan Manchester City ialah semasa Perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool, England pada 1 Disember 2024, yang berkesudahan 2-0 memihak kepada Liverpool. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda