MANCHESTER, 13 Dis – Manchester City terselamat daripada permulaan yang kurang bagus untuk bangkit menewaskan Hoffenheim 2-1, menerusi dua jaringan Leroy Sane dalam aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara, pagi tadi.
Jaringan penalti Andrej Kramaric membolehkan kelab dari Jerman itu mendahului pada minit ke-16, dengan tuan rumah yang melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama bergelut memberikan saingan.
Bagaimanapun anak buah Pep Guardiola kembali menemui rentak pada penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma Sane.
Guardiola kecewa dengan kegagalan anak buahnya memanfaatkan peluang di hadapan gol pada separuh masa kedua, dengan Sane menggandakan jaringan apabila menyudahkan hantaran Raheem Sterling pada minit ke-61.
“Kami bermula hambar kerana lawan memberikan cabaran ketika menyerang dan menggunakan ruang dengan baik. Secara fizikal mereka lebih kuat berbanding kami,” kata Guardiola.
“Selepas itu, kami mencipta banyak peluang tetapi keputusan adalah baik. Kami melepasi peringkat kumpulan dan kini menunggu undian serta cuba berada di tahap yang terbaik.
“Kami menurunkan pemain muda. Barisan serangan dibarisi pemain berusia 21 dan 22 tahun, namun mereka perlu lebih tenang,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia memuji pemain berusia 18 tahun, Phil Foden pada penampilan pertamanya di Liga Juara-Juara selepas hanya beberapa hari menandatangani kontrak baharu selama lima tahun setengah.
“Dia pemain yang hebat. Dia mampu menjaringkan gol, mempunyai mentaliti pejuang dan mengawal posisinya. Saya tidak mempunyai keraguan bahawa dia bersedia untuk beraksi bersama kami di tahap tertinggi.” – AFP
