Tuesday, April 15, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    City bangkit, benam Palace

    MANCHESTER, 13 APRIL – Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membelasah Crystal Palace 5-2 apabila pemain bintang, Kevin De Bruyne, membantu pasukannya untuk mengekalkan cabaran lima teratas mereka, kelmarin.

    Skuad kendalian Pep Guardiola di ambang kebimbangan dalam usaha mereka untuk mara ke Liga Juara-Juara selepas jaringan Eberechi Eze dan Chris Richards meletakkan Palace mendahului permainan di Stadium Etihad.

    Bagaimanapun, dalam perlawanan pertamanya di tempat sendiri sejak pengumumannya untuk meninggalkan pasukannya pada penghujung musim ini, De Bruyne mencuri tumpuan dengan aksi dinamik yang menjadikannya salah seorang pemain hebat dalam Liga Perdana sebelum kemerosotan prestasinya akibat kecederaan baru-baru ini.

    Pemain tengah Belgium itu, yang beraksi bersama City sejak 2015, menjaringkan gol untuk membantu City bangkit sebelum Omar Marmoush menyamakan kedudukan pada lewat separuh masa pertama.

    Mateo Kovacic menyempurnakan peluang gol menerusi assist yang dilakukan oleh De Bruyne untuk meletakkan City di depan selepas rehat dan gol daripada pemain muda James McAtee dan Nico O’Reilly turut memberikan kegembiraan kepada pasukannya.

    Satu-satunya kebimbangan bagi Guardiola ialah kecederaan yang menimpa Ederson, yang memaksa penjaga gol City itu dikeluarkan pada separuh masa kedua.

    Guardiola berkata minggu ini, dia optimis City akan layak ke Liga Juara-Juara kerana semangat mereka kembali selepas bergelut dalam kempen bola sepak mereka.

    City terkeluar daripada kedudukan lima teratas selepas kemenangan Newcastle di Leicester Isnin lalu, akan tetapi kemenangan yang amat diperlukan itu telah meningkatkan mereka ke tempat keempat.

    Walaupun City kembali ke tempat Liga Juara-Juara, namun mereka masih tidak dapat menentukan nasib mereka sendiri. – AFP

    Aksi pemain tengah City, Nico Gonzalez (kanan), bersaing dengan untuk mendapatkan bola dengan Daniel Munoz semasa perlawanan bola sepak di Stadium Etihad di Manchester, barat laut England, pada 12 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda